GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menegaskan bahawa pengurusan dana zakat dan tadbir urus institusi di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dilaksanakan selaras dengan hukum syarak, garis panduan kewangan serta prosedur yang berkuat kuasa.
Teks penggulungan beliau yang dibaca oleh Exco Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol menyatakan bahawa isu melibatkan kakitangan Zakat MAINPP, segala tindakan yang diambil adalah berdasarkan prosedur dalaman serta peraturan tatatertib syarikat.
“Walau bagaimanapun, memandangkan perkara tersebut kini dirujuk ke Mahkamah Perusahaan, pihak Zakat MAINPP tidak dapat mengulas lanjut bagi mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah,” katanya semasa sesi penggulungan Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad menyatakan bahawa dakwaan penggunaan wang zakat sebagai dana pembiayaan kepada Wakaf Pulau Pinang Sendirian Berhad adalah merujuk kepada kelulusan pembayaran peruntukan bagi tujuan pengoperasian syarikat tersebut yang telah dimeterai pada tahun 2021.
Tambah beliau, Wakaf Pulau Pinang Sendirian Berhad merupakan anak syarikat milik penuh MAINPP yang ditubuhkan bagi mengurus dan membangunkan hal ehwal wakaf di negeri ini.
“Pembiayaan tersebut dibuat menggunakan peruntukan zakat di bawah Peruntukan Khas MAINPP iaitu daripada bahagian upah amil tertakluk kepada kelulusan dan tatacara kewangan yang berkuat kuasa.
“Peruntukan khas ini tidak melibatkan wang zakat yang diperuntukkan untuk agihan kepada asnaf lain,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Pada masa sama, Mohamad turut memberitahu bahawa peruntukan tersebut digunakan bagi menampung kos operasi syarikat untuk memastikan pengurusan dan pembangunan wakaf di Pulau Pinang dapat dilaksanakan secara lancar dan berkesan.
Dalam pada itu, Mohamad turut menjelaskan bahawa sebarang penggunaan dana zakat termasuk bagi tujuan pembelian tanah atau hartanah perlu mematuhi hukum syarak, garis panduan agihan zakat serta mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
“Sekiranya pembelian tanah atau hartanah dibuat bagi tujuan manfaat dan kepentingan asnaf, pertimbangan akan dibuat berdasarkan keperluan serta manfaat kepada golongan tersebut.
“Sehubungan itu, perkara berkaitan agihan zakat termasuk pembelian aset atau hartanah akan dirujuk kepada pihak berautoriti syariah termasuk Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan Jawatankuasa Syariah Zakat MAINPP bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan hukum syarak,” tambahnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN