BERMULA sebagai pemandu lori ais sebelum pandemik COVID-19, usahawan otak-otak, NAZIE RASHID, 49, tidak menyangka keadaan sukar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya membuka jalan baharu untuknya menceburi bidang perniagaan makanan.
Berasal dari Titi Teras, Balik Pulau, Nazie bersama isterinya, Norazlina Che Mat, kini aktif menjual otak-otak, pulut udang dan satar daging di pasar malam sekitar Balik Pulau dan kawasan berhampiran.
Menurut Nazie, keputusan untuk berniaga dibuat ketika ramai kehilangan pekerjaan dan terpaksa menghabiskan masa di rumah susulan pelaksanaan PKP.

“Ketika PKP, ramai yang kehilangan kerja dan duduk di rumah.
“Jadi, saya fikir, daripada tidak buat apa-apa, saya cuba cari modal dan mulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Pada awalnya, saya mula berniaga sendiri.

“Otak-otak saya ambil daripada kilang, manakala pulut udang pula kami hasilkan sendiri,” katanya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI, di perkarangan tapak pasar malam Masjid Daerah Barat Daya (DBD), Balik Pulau, petang semalam.
Tambah Nazie, perniagaan yang dimulakan secara kecil-kecilan itu kemudiannya berkembang apabila beliau mendapat peluang menyertai pelbagai program jualan dan festival anjuran agensi kerajaan, termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“FAMA banyak membantu dengan memberi peluang kepada kami untuk menyertai festival dan program Agro Madani.
“Kalau ada acara yang melibatkan usahawan Bumiputera, kami juga akan sertai.
“Daripada situ, pelanggan semakin mengenali produk kami dan perniagaan dapat berkembang sedikit demi sedikit,” jelasnya.
Kini, Nazie bersama isterinya berniaga hampir setiap hari kecuali Isnin, mengikut jadual pasar malam yang berbeza.

“Pada Selasa, kami berniaga di Teluk Kumbar, diikuti Balik Pulau pada Rabu, Lorong Kulit pada Khamis, Sungai Ara pada Jumaat, Sungai Pinang pada Sabtu serta kembali ke Balik Pulau pada Ahad.
“Selain jualan di pasar malam, kami turut menerima tempahan untuk majlis kenduri, khususnya pulut udang, selain otak-otak dan satar daging,” tambahnya.
Walau bagaimanapun, Nazie mengakui berniaga di pasar malam bukan sesuatu yang mudah kerana hasil jualan bergantung kepada keadaan cuaca dan jumlah pengunjung.
“Cabaran berniaga di pasar malam ini memang banyak kerana ada hari rezeki murah, ada hari kurang.
“Cuaca juga menjadi faktor besar kerana kalau hujan, memang susah untuk berniaga.
“Tetap bersyukur kerana tapak pasar malam pula biasanya sekitar RM10 sahaja,” katanya.
Bagi Nazie, pengalaman sepanjang beberapa tahun berniaga mengajarnya supaya terus berusaha dan tidak mudah berputus asa.
Daripada bermula dengan modal kecil ketika PKP, beliau kini mampu menjadikan perniagaan otak-otak dan makanan tradisional sebagai sumber pendapatan keluarga, selain memperkenalkan makanan tempatan kepada masyarakat sekitar Pulau Pinang.