Dasar anti-rasuah tingkatkan keyakinan pelabur

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Keberkesanan dasar-dasar integriti dan anti-rasuah yang diamalkan Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang antara destinasi pelaburan pilihan unggul di Malaysia.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, komitmen Kerajaan Negeri dalam memerangi rasuah sejak hari pertama mengambil alih tampuk pentadbiran pada 2008 adalah amat jelas.

“Kempen anti-rasuah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bukan sahaja mampu meningkatkan keyakinan para pelabur terhadap Pulau Pinang, tetapi juga mewujudkan persekitaran lebih kompetitif dan dinamik.

“Malah, segala urusan melibatkan projek-projek pembinaan atau peluang-peluang perniagaan dijalankan melalui sistem merit dan tender terbuka, bukannya amalan korup,” ucapnya pada suatu majlis makan tengahari bersama wakil-wakil Economist Corporate Network (The Economist) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah The Economist (Wilayah ASEAN), Justin Wood dan Pengarah Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari.

Guan Eng berkata, keyakinan para pelabur terhadap Pulau Pinang dapat digambarkan melalui peningkatan angka dalam nilai Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investment) sejak tahun 2010 hingga 2013 dengan jumlah sebanyak RM19.7 bilion.

Hal ini, menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memerangi ‘musuh awam nombor satu’ seperti dinyatakan Presiden Bank Dunia, Jim Yong Kim pada Disember 2013.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga menekankan aspek kecerdasan ekonomi, kesesuaian, kelestarian dan pembangunan sosial yang mapan melalui pengenalan Paradigma Pulau Pinang, iaitu pelan induk pembangunan 10 tahun bermula 2013 hingga 2023 ke arah pengantarabangsaan,” jelas beliau.

Pada masa sama, Guan Eng turut menyuarakan pendapat bahawa kerajaan tidak seharusnya campur tangan dalam mana-mana urusan berkaitan jual beli.

“Kita telah lihat bagaimana suramnya dan penuh skandal apabila kerajaan campur tangan dalam urusan Perwaja Steel.

“Lagipun, perniagaan yang tiada campur tangan kerajaan terbukti jauh lebih kukuh, dapat menikmati faedah berlipat kali ganda dan mudah diterima dalam pasaran ekonomi,” ujarnya yang turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan mencontohi polisi Pulau Pinang dalam membangunkan ekonomi negara.