Demam bukan penghalang, Firdaus Fariduddin rangkul perak acara 200m rampaian perseorangan

Admin
36c7aced 35ab 4be9 a21c 1a3e8b322d1b SUNGGUHPUN demam, Firdaus Fariduddin Noordin berjaya meraih pingat perak bagi acara acara 200 meter (m) rampaian perseorangan lelaki di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam sempena Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 Selangor pada 8 September 2026.

SHAH ALAM, SELANGOR – Biarpun berdepan masalah kesihatan akibat demam, atlet para renang Pulau Pinang, Firdaus Fariduddin Noordin, 27, membuktikan semangat juangnya masih tinggi apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara 200 meter (m) rampaian perseorangan lelaki.

Berlangsung di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam sempena Temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 Selangor, beliau mencatat masa 3:13.37 minit untuk mengesahkan tempat di podium.

img 7046
FIRDAUS Fariduddin Noordin

Pingat emas acara berkenaan dimenangi atlet para tuan rumah, M. Safwan Suhaimi, yang mencatat masa 2:45.83 minit, manakala pingat gangsa menjadi milik wakil Sarawak, Mully Andriano, dengan catatan 3:19.32 minit.

Ditanya mengenai kejayaan tersebut, Firdaus Fariduddin meluahkan rasa syukur kerana berjaya menambah koleksi pingat buat pasukannya selepas memenangi pingat emas dalam acara 400m gaya bebas lelaki pada hari sebelumnya.

img 7054
FIRDAUS Fariduddin Noordin mempamerkan pingat emas yang diraihnya di sini, semalam.

Beliau mengakui faktor kesihatan sedikit sebanyak mempengaruhi prestasinya dalam saingan hari ini, namun tetap berpuas hati dengan pencapaian yang diraih.

“Para SUKMA 2026 Selangor ini merupakan kejohanan sukan dwitahunan peringkat kebangsaan yang keempat saya sertai.

“Semalam, saya telah meraih satu pingat emas dan hari ini terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, mungkin disebabkan saya demam,” katanya kepada Buletin Mutiara.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MIKAIL ONG (MSNPP)