SKUAD sepak takraw lelaki Pulau Pinang berjaya mempertahankan pingat emas acara regu berpasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas menewaskan Johor 2-1 pada aksi final di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong.
Kejayaan itu menyaksikan Pulau Pinang mempertahankan kejuaraan regu berpasukan buat kali kedua berturut-turut serta melakar kejayaan emas berganda termasuk dalam acara regu lelaki pada temasya berkenaan.

Pengurus Pasukan, MOHD. HASNUL HADI ABDUL RASHID berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna memandangkan skuad yang dibawa ke Selangor bukan sahaja terdiri daripada pemain muda, malah berdepan cabaran besar untuk mengumpulkan kesemua pemain bagi menjalani latihan secara konsisten.
“Sebagai pengenalan, skuad SUKMA 2026 dibentuk selepas temasya SUKMA 2024 dengan kira-kira 60 hingga 70 peratus pemain merupakan anggota skuad yang beraksi pada edisi sebelum ini.
“Pada peringkat awal, kita memilih kira-kira 20 pemain sebelum mengecilkan skuad kepada 14 pemain mengikut kuota pendaftaran SUKMA.
“Daripada 14 pemain itu, empat (pemain) berusia sekitar 20 tahun, manakala selebihnya berusia 17 hingga 19 tahun, bermakna sebahagian besar pemain kita masih muda dan masih mempunyai peluang untuk beraksi pada SUKMA 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara khas bersama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL, dan jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI pada 8 September 2026.
Mohd. Hasnul Hadi yang juga Pembantu Tadbir di Sektor Penilaian dan Peperiksaan berkata, cabaran utama pasukan sepanjang tempoh persiapan adalah untuk mengumpulkan kesemua 14 pemain memandangkan sebahagian besar mereka sedang melanjutkan pengajian, bekerja dan masih bersekolah.
“Ada kalanya hanya empat hingga enam pemain dapat menghadiri latihan yang dijalankan pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 malam di Kompleks Sukan Titi Mukim, Penaga.
“Sebahagian pemain berada di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan ada juga yang terikat dengan komitmen kerja, manakala tiga pemain masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Impian yang juga merupakan Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang di Simpang Ampat.
“Memang agak sukar untuk mengumpulkan semua pemain pada satu-satu masa tetapi kita bersyukur kerana pemain yang berada di universiti turut mempunyai pusat latihan dan jurulatih masing-masing,” tambahnya.
Bagaimanapun, Mohd. Hasnul Hadi turut memaklumkan bahawa inisiatif Persatuan Sepak Takraw Negeri Pulau Pinang (PESENANG) dengan sokongan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) membantu memastikan skuad berkenaan membuat persiapan lebih menyeluruh menjelang temasya.
“Kesemua 14 pemain dibawa menjalani latihan pusat di Yala, Thailand selama kira-kira 10 hari pada Julai sebelum meneruskan persiapan di Kompleks Akademi Sepak Takraw Malaysia di Stadium Jalan Raja Muda untuk tempoh yang sama menjelang SUKMA.
“Di situlah kita dapat mengumpulkan semua pemain dan membina keserasian kerana mereka hanya fokus kepada latihan, makan dan rehat tanpa gangguan komitmen lain,” ujarnya.

Mengulas perjalanan pasukan di SUKMA Selangor, Mohd. Hasnul Hadi berkata, skuad Pulau Pinang membuka saingan dengan kekalahan 1-2 kepada Perak pada peringkat kumpulan sebelum bangkit menewaskan Negeri Sembilan 2-1.
Pulau Pinang kemudian menewaskan tuan rumah Selangor 2-0 pada suku akhir sebelum menundukkan Pahang 2-1 pada aksi separuh akhir untuk mara ke final menentang Johor.
Pada aksi final, Johor terlebih dahulu meraih mata menerusi regu pertama yang dibarisi Isma Hanif, Farez Nazrel dan Hakkimi Shahrin selepas menewaskan regu Pulau Pinang, Danial Iman Hasbullah, Nabil Afiq dan Nazirul Haziq Zahid, 17-14, 15-11.
Pulau Pinang bagaimanapun bangkit menerusi regu kedua yang dibarisi Irzan Nazri, Imran Fazli dan Adi Syazmin untuk menewaskan gandingan Johor, Muhammad Nurizuan, Hazieq Saad dan Luqman Haqim, 15-10, 15-5.
Keputusan 1-1 itu menyaksikan penentuan pingat emas terpaksa ditentukan menerusi regu ketiga.
Johor bermula baik apabila Hazreez Haikal, Muhammad Qayum dan Nurdanish Irfan meraih kemenangan 15-9 pada set pertama, namun Pulau Pinang bangkit menerusi gandingan Hazieq Damian, Elffie Danish dan Hamzi Hazry untuk menang 15-10 pada set kedua sebelum mengesahkan emas selepas menutup set penentuan 15-6.
Kemenangan 2-1 itu sekali gus menyaksikan Pulau Pinang mempertahankan emas acara regu berpasukan sepak takraw untuk edisi kedua berturut-turut.

Mohd. Hasnul Hadi berkata, pemain gantian Pulau Pinang, Mohd. Faris Nasrullah dan Ismail Nazri, yang juga merupakan pelajar SMK Mutiara Impian, turut memainkan peranan penting dalam memperkuatkan barisan pasukan sepanjang kejohanan.
Menurutnya, kehadiran pemain-pemain muda berkenaan membuktikan bahawa Pulau Pinang mempunyai barisan pelapis yang mampu diketengahkan pada kejohanan peringkat tertinggi.
“Kita kalah pada perlawanan pertama, tetapi daripada aspek kejurulatihan dan pengurusan, kita cuba menaikkan semangat pemain dan fokus pada satu perlawanan demi satu perlawanan.
“Alhamdulillah, mereka terus bangkit sehingga berjaya mara ke final dan menewaskan Johor 2-1,” jelasnya dengan nada teruja.
Tambahnya, kemenangan tersebut turut membuktikan kekuatan mental dan disiplin pemain muda Pulau Pinang yang mendapat bimbingan pemain-pemain senior sepanjang persiapan.
“Pemain senior banyak memainkan peranan dalam membimbing pemain-pemain muda, khususnya dari segi disiplin, sekali gus membantu memastikan pengurusan pasukan berjalan dengan lebih baik.
“Kita juga mempunyai dua pemain daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan salah seorang dilantik sebagai ketua disiplin untuk memantau pemain,” katanya.
Mohd. Hasnul Hadi berkata, kejayaan pasukan turut disokong oleh pasukan sokongan termasuk dua pelajar bidang fisioterapi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dilantik untuk bersama skuad sepanjang kejohanan.
“Langkah berkenaan penting bagi memastikan kecederaan pemain dapat diuruskan dengan segera selain mengurangkan kebergantungan kepada kemudahan luar.

Dalam pada itu, Mohd. Hasnul Hadi menyifatkan kejayaan mempertahankan emas berpasukan sebagai pencapaian membanggakan selepas Pulau Pinang turut mengekalkan momentum kemenangan menerusi beberapa kejohanan kebangsaan sebelum SUKMA.
“Pada 2025, kita muncul juara Kejohanan Remaja Kebangsaan dan turut menjuarai Piala Raja Muda Perlis. Jadi, prestasi pasukan memang menunjukkan perkembangan yang baik sehingga ke SUKMA.
“Untuk SUKMA akan datang di Kelantan, kita cuba untuk mempertahankan kejuaraan dan kalau boleh mencipta hatrik, tetapi buat masa ini, kita rehat dahulu dan dijangka mula kembali pada Februari tahun hadapan,” katanya.
Pada masa sama, selain 10 pemain daripada skuad 2026 yang masih layak beraksi pada 2028, Pulau Pinang turut mempunyai kira-kira 10 lagi pemain muda yang berpotensi diserap ke dalam skuad akan datang.
Katanya, pembangunan akar umbi turut diperkukuh menerusi Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP) yang memberi peluang kepada pemain lelaki dan wanita, termasuk dari peringkat sekolah rendah.
“Pelapis kita ramai dan kita tidak boleh terlalu selesa kerana pemain yang berada di luar skuad juga sedang menunggu peluang, malah saya sudah berpesan kepada pemain yang masih layak supaya tidak lalai kerana ada ramai lagi yang sedang menunggu untuk merebut tempat dalam skuad.
“Alhamdulillah, Pulau Pinang mempunyai pelapis yang baik dan itu yang membuatkan kita yakin dengan masa depan sepak takraw negeri,” tuturnya menutup bicara.