Pesta P. Pinang 2013 janji karnival ekstravaganza

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

SUNGAI NIBONG – Persembahan bunga api berwarna-warni menyinari setiap pelusuk tapak pesta pastinya memberi memori indah kepada pengunjung Pesta Pulau Pinang 2013, ucap Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.

Justeru, Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak mengajak warga tempatan untuk meluangkan masa bersama keluarga di penganjuran
tersebut.

Katanya, selain menikmati keseronokan karnival ekstravaganza selama sebulan, pengunjung juga pastinya akan dihiburkan dengan pelbagai acara termasuk acara kebudayaan dan kesenian.

“Malah, dengan lebih 133 buah gerai yang terdapat di sini, pengunjung juga dapat menikmati pelbagai jenis makanan popular di Pulau Pinang,” ujarnya di sini.

Pesta Pulau Pinang 2013 yang berlangsung dari 25 November lalu sehingga 31 Disember ini dirasmikan Yang Di-Pertua Negeri (TYT) Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Law Choo Kiang dan isteri, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan isteri, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait dan isteri serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang lain.

Jom Pi Pesta Pulau Pinang..!