95 peratus tandas awam Pulau Pinang raih penarafan empat dan lima Bintang

2dfa49c6 67d1 49de 83c2 f0c06e9cf69f KETUA Menteri (empat dari kanan) dan beberapa pemimpin negeri merakamkan gambar dengan para penerima pengiktirafan sempena berlangsungnya Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di sini hari ini.

AIR ITAM – Sebanyak 145 tandas awam atau kira-kira 95 peratus daripada keseluruhan premis yang dinilai di negeri ini berjaya mencapai penarafan empat dan lima bintang, termasuk tahap Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).

e8190920 9595 46d9 a976 fd28a0e19951
KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di sini hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pencapaian membanggakan itu adalah hasil penilaian ke atas 159 tandas awam di bawah seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bersempena pertandingan peringkat negeri yang melibatkan lapan kategori.

Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan yang dinilai, sebanyak 152 tandas telah menerima penarafan rasmi manakala tujuh lagi dikenal pasti untuk menjalani proses naik taraf.

“Secara terperinci, MBPP merekodkan 13 tandas lima bintang dan 51 tandas empat bintang, manakala dua buah lagi dalam proses naik taraf.

“MBSP pula mencatatkan 27 tandas memperoleh lima bintang, 54 premis menerima empat bintang, enam mendapat tiga bintang, dan dua buah lagi memperoleh dua bintang,” jelasnya ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Negeri Pulau Pinang 2026 di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran serta Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) Negeri, Muhamad Husni Mahmud.

ac954f61 3198 4627 8b0d 5a163737b821 89e3f4cc a02f 418a b633 ee6f138cdddfDalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut merakamkan ucapan tahniah kepada pusat beli-belah 1st Avenue Mall dan Hotel Iconic Marjorie yang berjaya terpilih sebagai antara 24 finalis terbaik dalam pertandingan Anugerah Tandas Terbaik (Toilet of the Year Awards) 2026 anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pada majlis sama, Hotel Iconic Marjorie turut diumumkan menerima anugerah khas berikutan kejayaan premis tersebut dinobatkan sebagai Johan dalam Pertandingan Anugerah Tandas Terbaik KPKT 2026 (TOTYA’26) bagi Kategori Hotel.

Mengulas lanjut mengenai tema sambutan tahun ini iaitu ‘Sanitasi dan Kesaksamaan Gender’, Kon Yeow menggesa agar aspek reka bentuk sejagat (universal design) dan nisbah kubikel tandas wanita diberi perhatian serius oleh golongan arkitek serta pihak KPKT.

Beliau berpandangan bahawa penyediaan jumlah kubikel yang sama rata antara tandas lelaki dan wanita sebenarnya tidak mencerminkan keadilan sebenar memandangkan kaum lelaki mempunyai kemudahan tambahan seperti tempat membuang air kecil (urinal).

“Sekilas pandang keadaan ini nampak adil kerana kedua-duanya mempunyai tiga kubikel, namun, selain tiga kubikel tersebut, golongan lelaki turut disediakan tempat buang air kecil yang boleh menampung sehingga enam orang pada satu-satu masa, sedangkan wanita memerlukan masa lebih lama dan hanya bergantung kepada kubikel sedia ada,” serunya sambil merujuk situasi barisan panjang di tandas wanita di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) mahupun stesen minyak setiap kali musim perayaan.

Tambah beliau, bagi mencerminkan masyarakat madani yang bertamadun dan bersedia menghadapi fasa masyarakat menua, kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) dan warga emas seperti pemasangan palang pemegang (railing) di dalam tandas perlu diperluaskan secara menyeluruh.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut menyifatkan penyediaan tandas yang sempurna sebagai keperluan asasi yang memartabatkan maruah manusia serta mencerminkan budaya, disiplin dan kesedaran sivik masyarakat setempat.

Justeru, beliau menuntut kerjasama erat antara pengusaha premis dan pengguna untuk terus memelihara kebersihannya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS