Digital Penang lancar dua platform bantu PKS, perluas capaian

Admin
57934bae 144e 4a2d 8c3f 7e556de6f793

GEORGE TOWN – Digital Penang perkenalkan dua platform digital baharu, iaitu SME Digital Matching Platform dan Eventree.my Online, bagi menghubungkan perniagaan, penganjur serta orang awam dengan peluang dan maklumat yang berkaitan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, SME Digital Matching Platform dibangunkan bagi memadankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan penyedia penyelesaian digital yang bersesuaian.

Menurut beliau, pendigitalan bukan lagi sekadar pilihan masa depan, sebaliknya semakin menjadi sebahagian daripada cara perniagaan beroperasi, bersaing dan berkembang.

“Cabaran bagi kebanyakan pemilik perniagaan adalah mengenal pasti penyelesaian, penyedia serta pendekatan yang tepat mengikut keperluan dan bajet mereka.

“Platform ini menjadikan proses tersebut lebih pintar, pantas dan mudah, selain membuka ruang kepada PKS untuk meneroka penyelesaian digital yang relevan dan berhubung dengan penyedia yang berkeupayaan,” katanya pada sesi sidang media pelancaran kedua-dua platform digital berkenaan di Komtar, pagi ini.

f81088b7 abc3 4403 8dca 9866bf86b540
ZAIRIL Khir Johari.

Mengulas lanjut, Zairil turut menyatakan bahawa platform tersebut bukan sekadar mendigitalkan perniagaan, sebaliknya memastikan teknologi memberi nilai sebenar menerusi pemasaran, e-dagang, automasi, pengurusan pelanggan dan operasi yang lebih cekap.

“PKS merupakan tulang belakang ekonomi Pulau Pinang, malah keupayaan mereka untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan berkembang mampu mengukuhkan daya tahan ekonomi serta menyumbang kepada agenda digital negeri,” ujarnya.

1b6ff21a 30e4 4b29 85cd bff64a90a9ce ba869a59 d869 4e99 b7fe 53f07ebf4cb0
Pada majlis sama, Eventree.my Online diperkenalkan sebagai platform sehenti bagi membolehkan orang awam, pelawat, perniagaan dan komuniti mengetahui pelbagai acara serta aktiviti yang berlangsung di seluruh Pulau Pinang.

Menurut Zairil, maklumat mengenai pelbagai acara sebelum ini sering tersebar melalui laman sesawang, media sosial dan saluran komunikasi yang berbeza.

“Eventree.my Online menangani jurang ini dengan menyediakan platform berpusat yang mudah diakses untuk mengetahui apa yang sedang berlangsung di seluruh negeri, selain memberi saluran tambahan kepada penganjur untuk menyenaraikan dan mempromosikan acara mereka.

“Ia bukan sekadar kalendar acara, tetapi satu usaha praktikal untuk menjadikan Pulau Pinang lebih kelihatan, berhubung dan mudah diakses,” jelasnya.

Tambah Zairil, kerjasama berkenaan penting bagi memastikan pertumbuhan digital disertai kesedaran, kesiapsiagaan dan tanggungjawab dalam melindungi persekitaran digital.

“Agensi kerajaan, pemain industri, institusi pendidikan, kumpulan komuniti dan penganjur acara juga digalakkan menyenaraikan aktiviti mereka di Eventree.my Online.

“Bersama-sama, kita akan terus membina Pulau Pinang yang lebih berhubung, berdaya saing dan lebih bersedia menghadapi peluang pada masa hadapan,” tambahnya.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT