Doa khutbah Jumaat tidak sebut ‘gulingkan kerajaan’ – Pengerusi Qariah

Admin
ABDUL Malik Abul Kassim (tengah) ditemani Abu Bakar Bakilani Abu Hassan (kanan sekali) menunujukkan salinan laporan polis berhubung isu doa khutbah Jumaat pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.
ABDUL Malik Abul Kassim (tengah) ditemani Abu Bakar
Bakilani Abu Hassan (kanan sekali) menunujukkan salinan
laporan polis berhubung isu doa khutbah Jumaat pada
majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWNPengerusi Qariah Masjid Saidina Abu Bakar as- Siddiq, Taman Guar Perahu, Permatang Pauh, Abu Bakar Bakilani Abu Hassan berasa marah, kecewa dan terkilan atas fitnah yang dilemparkan bahawa doa khutbah Jumaat disampaikan Ustaz Haji Abdullah Khairi Haji Harun ada menyebut perkataan ‘gulingkan kerajaan’ baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu, memohon agar pihak yang menyebarkan fitnah tersebut untuk tampil memohon maaf secara terbuka kepada Jawatankuasa Qariah Masjid Taman Guar Perahu.

“Saya sangat marah, kecewa dan terkilan atas fitnah yang dilemparkan sehingga mengugat nama dan reputasi Jawatankuasa Qariah Masjid.

“Ustaz tersebut tidak menyebut sebarang perkataan ‘guling’ mana-mana kerajaan dan tidak menyebut pun mana-mana parti politik seperti yang disiarkan oleh saluran berita perdana, Buletin Utama TV3,” ujar Abu Bakar Bakilani pada majlis sidang media di sini barubaru ini.

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, DatukAbdul MalikAbul Kassim.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu bacaan doa khutbah Jumaat di Masjid Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Taman Guar Perahu, Permatang Pauh pada 22 Jun 2012 yang didakwa beberapa pihak bahawa khutbah yang disampaikan ada menyebut perkataan ‘gulingkan kerajaan’.

Isu tersebut kemudian telah disiarkan di Buletin Utama TV3 pada 23 Jun dan 24 Jun lalu. Ekoran itu, beliau telah membuat laporan polis pada 26 Jun lalu di Balai Polis Kubang Semang bagi membersihkan nama baik Masjid Taman Guar Perahu dan khatib terbabit. Pada masa sama, ia juga bagi mengingatkan pihak-pihak tertentu supaya tidak lagi menyebarkan fitnah.

Abu Bakar Bakilani memberitahu, khatib tersebut tidakpun menyebut perkataan ‘gulingkan kerajaan’ seperti yang didakwa. Sebaliknya, beliau memberitahu bahawa doa yang dibacakan oleh khatib tersebut:-

“Berikanlah kemenangan kepada jemaah Islam ya Allah.Ya Allah, hancurkanlah orang-orang yang memberikan penindasan, menyeleweng dan menipu. Jatuhkanlah mereka dalam pilihanraya akan datang.”

Dalam pada itu, Abdul Malik menasihati umat Islam di Pulau Pinang agar tidak mengadu-domba perkara-perkara berkaitan kepentingan umat. Malah, turut menyeru media massa memaparkan fakta sahih agar tidak timbul isu yang boleh mengancam dan menjatuhkan martabat umat Islam.