MPPP tegas roboh papan iklan haram

Admin
PARA penguatkuasa MPPP sedang merobohkan papan iklan haram di persimpangan Jalan Perak/Jalan Anson di sini baru-baru ini
PARA penguatkuasa MPPP sedang merobohkan papan iklan haram di persimpangan Jalan Perak/Jalan Anson di sini
baru-baru ini

Oleh : MOHD. HAFIZ TAJUDIN

GEORGE TOWNTindakan tegas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) merobohkan papan-papan iklan ‘haram’ di sini membuktikan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit sentiasa memantau dan mengambil serius perkara berbangkit tersebut.

Terbaru, papan iklan di persimpangan Jalan Perak/Jalan Anson yang tidak memperoleh kelulusan PBT dan agensi-agensi berkaitan telah dirobohkan menjadikan sebanyak enam papan iklan (secara keseluruhan) telah diambil tindakan pihak MPPP bermula awal tahun ini hingga kini.

Ahli Majlis MPPP, Ong Ah Teong berkata, sebelum bertindak merobohkan papan-papan iklan tersebut, MPPP telah mengeluarkan notis amaran kepada pihak terbabit untuk menarik balik pemasangan papan iklan berkaitan.

“Namun, notis tersebut tidak diendahkan sehingga ‘memaksa’ MPPP mengambil tindakan merobohkannya,’’ katanya semasa operasi perobohan dijalankan pasukan Penguatkuasa MPPP di sini baru-baru ini.

Mengulas tentang papan iklan yang dirobohkan, Ah Teong menyatakan kesalahan pihak yang memasang papan iklan tersebut bukan sahaja memasang di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran dan tidak mengikut saiz ditetapkan, malah, tiada sebarang permohonan diterima MPPP berhubung insiatif tersebut.

Dalam pada itu, tambah beliau, terdapat beberapa garis panduan yang mesti dipatuhi sebelum sesebuah papan iklan dibenarkan.

“Antaranya, permohonan mestilah mempunyai pengesahan daripada arkitek, mempunyai insuran; hanya dua saiz dibenarkan iaitu 10 kaki x 40 kaki dan 20 kaki x 60 kaki dan jarak papan iklan mestilah 50 kaki dari selekoh,’’ jelas beliau.