Dua bulan promosi bayar cukai, MBSP berjaya kutip RM56.79 juta 

Admin
SR. Rozali Mohamud (depan) mengumumkan nama para pemenang acara cabutan bertuah Promosi Cukai Taksiran Penggal Kedua 2020, di sini pada tengah hari tadi.
SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berjaya mengutip hasil cukai sebanyak RM56.79 juta sempena penganjuran Majlis Cabutan Pemenang Promosi Cukai Taksiran Penggal Kedua, yang dianjurkan sejak 1 Julai hingga 31 Ogos baru-baru ini.
Ketika mengumumkan nama para pemenang, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa  sejumlah 67,126 akaun layak menyertai acara cabutan bertuah pada kali ini.
“MBSP mengucapkan jutaan penghargaan kepada seluruh warga Seberang Perai yang telah menunaikan tanggungjawab untuk membayar cukai taksiran pada masa yang ditetapkan,” zahirnya pada sidang media di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 September 2020.
Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; barisan Ahli Majlis MBSP serta Ketua-ketua Jabatan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan turut sertai acara  ringkas tersebut.
Menurut Rozali lagi, hasil kutipan cukai tersebut adalah penting untuk kelangsungan MBSP memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk lokal Seberang Perai.
Sementara itu, Ahmad Zamri Yahaya terpilih memenangi acara cabutan bertuah yang pertama, dengan membawa pulang RM7,000 tunai.
Tempat kedua adalah Tan Kian Hong (RM5,000), diikuti tempat ketiga Phuah Min Chuan (RM3,000), tempat keempat Tan Fo Kim @ Tan Poh Khim (RM2,000) dan tempat kelima Ng Jok Su (RM1,000).
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD