Dua keluarga asnaf terima bantuan, kunjungan khas ADUN

Admin

AIR ITAM – Dua keluarga asnaf dari Kampung Tengah, Jalan Shaik Eusoff di sini menerima bantuan kit Zakat Pulau Pinang (ZPP) sempena Aidilfitri barubaru ini.

Hadir menyempurnakan pemberian kepada dua keluarga terbabit, Shuhaida Hassan, 39, dan Marzilah Omar, 35 tahun ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Hadir sama, Penghulu bagi Kawasan Air Itam, Nasrizal Nasib; kakitangan dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); kakitangan dari Klinik Kesihatan berhampiran dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketika berkunjung ke rumah Shuhaida, Soon Siang turut menasihatkan agar beliau segera melakukan penukaran alamat kad pengenalan dari negeri Kedah ke alamat (rumah) terkini di Pulau Pinang.

“Ini kerana, apabila beliau tukar alamat ke sini, banyak program kebajikan yang kita (Kerajaan Negeri) boleh bantu seperti Agenda Ekonomi Saksama (AES) dan bantuan-bantuan lain yang difikirkan perlu,” jelasnya.

Manakala, pada kunjungan ke kediaman Marzilah, pihak JPN membuat sesi fotografi di rumah tersebut bagi membolehkan permohonan MyKid bagi anakanak beliau dapat diproses segera.

“Saya minta beliau (Marzilah) jaga anak-anak (tujuh orang) betul-betul, pastikan mereka terima pendidikan di sekolah dan yang penting adalah anak kecil beliau boleh terima suntikan selepas mempunyai dokumen.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Nasrizal dan agensi-agensi kerajaan lain yang bersama-sama dalam memudahkan program membantu individu-individu yang kurang bernasib baik,” ujar Soon Siang.