Sasar turun 10% rekod kematian akibat kemalangan jalan raya mencabar tanpa kerjasama semua pihak – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH – Angka kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang 2017 mencatatkan 401 kematian berbanding 411 kes pada tahun sebelumnya, dengan penurunan sebanyak 10 kematian.

Pun begitu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu, sasaran 10 peratus penurunan angka kematian akibat kemalangan jalan raya tiap-tiap tahun, yang disasarkan oleh Kerajaan Negeri melalui Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya adalah agak mencabar untuk dicapai jika tidak mendapat kerjasama semua pihak terutama para pengguna jalan raya sendiri.

“Walaupun sudah lima tahun kajian (Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya) ini dilaksanakan, kita (Kerajaan Negeri) ada perasaan macam ombak kerana satu tahun mencatatkan angka penurunan, walaupun tidak sampai 10 peratus, tapi selepas gembira sedikit, pada tahun berikutnya kadar kematian akibat kemalangan jalan raya mencatatkan lebih daripada 10 peratus.

“Ini, suatu cabaran bukan sahaja di Pulau Pinang, saya percaya di seluruh negara,” jelasnya pada majlis Advokasi Khas Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Pulau Pinang Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri dekat perkarangan Plaza Tol Juru di sini 8 Jun lalu.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Timbalan Pengerusi MKJR Pulau Pinang, Dr. Mohamad Farazi Johari dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang, N.M. Thurkah Thevi antara pemimpin yang sertai majlis kempen keselamatan jalan raya itu.

Difahamkan, Kon Yeow ketika menjadi Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir pada tahun 2013 mula mewujudkan Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya dengan sasaran pengurangan 10 peratus kes kematian akibat kemalangan tiap-tiap tahun, sebagaimana digariskan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketika itu, Kerajaan Negeri melantik sekumpulan ahli akademik daripada Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Transkrian , Nibong Tebal yang diketuai Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah (kini Timbalan Naib Canselor Bahagian Akademik Dan Antarabangsa, USM), bagi menyiapkan pelan strategik itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow berharap Ops Selamat secara bersepadu membabitkan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena musim perayaan kali ini dapat menyumbang kepada sasaran menurunkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.