Gunting Rambut Percuma JKKK Thean Teik sedia sudut khas wanita Islam

Admin

AIR ITAM – Sebagai menghormati privasi wanita beragama Islam, penganjuran Program Gunting Rambut Percuma oleh Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Komuniti (JKKK) Thean Teik baru-baru ini menyediakan sudut khas bagi golongan berkaitan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang perkara tersebut semestinya memudah serta menggalakkan lagi wanita yang beragama Islam untuk datang mendapatkan khidmat gunting rambut percuma yang dianjurkan oleh JKKK di sini dengan kerjasama pihak Hair Story.

“Dengan adanya sudut ini, mereka tidak perlu risau, dan saya harap kawasan-kawasan lain yang anjurkan program gunting rambut percuma juga dapat berbuat demikian,” ujarnya ketika ditemui pada penganjuran berkenaan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Soon Siang dalam pada itu menyasarkan untuk mengadakan lebih banyak program sebegitu demi kebajikan penduduk setempat.

“Saya sasarkan untuk adakan lebih banyak program seperti ini, tetapi tidak boleh begitu banyak, nanti pengusaha gunting rambut setempat ‘marah’ kepada saya,” selorohnya sambil beramah-mesra dengan para peserta penganjuran.