DUN Batu Maung hasrat teraju pengajian STEM

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : LAW SUUN TING

 

BATU MAUNG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim mengajak semua pihak termasuk ibu bapa dan guru-guru supaya berganding bahu membimbing pelajar untuk lebih meminati pengajian berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM.

Abdul Malik berkata, pelajar perlu didedahkan dengan keempat-empat elemen pengajian tersebut sejak di bangku sekolah ekoran tanggapan bahawa subjeksubjek berkenaan kurang menarik dan susah.

“Oleh demikian, saya berhasrat menyahut seruan Y.A.B. Ketua Menteri dalam pembentangan Bajet 2015 baru-baru ini untuk mewujudkan sebuah pusat pengajian di Batu Maung dan menjadi peneraju dalam pengajian STEM.

“Bagi tahun 2015, saya akan usaha menaikkan standard STEM seiring strategi Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan dengan mengukuhkan pendidikan dan penguasaan ilmu pengetahuan.

“Saya juga menyeru agar sektor-sektor swasta dan industri boleh turut sama terlibat menjayakan pengajian STEM ini sebagai sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri mentransformasikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains, teknologi dan kejuruteraan di Malaysia,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung dekat sini baru-baru ini.

Seramai 400 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan persekolahan daripada Pusat Urus Zakat (PUZ), manakala 66 pelajar lain menerima bantuan persekolahan daripada Pusat Khidmat ADUN Batu Maung.

Penyampaian bantuan disempurnakan Abdul Malik sendiri.