MPPP belanja RM3.53 juta naiktaraf Lorong Bt. Lancang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BATU LANCHANG – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) siap menaiktaraf sebahagian Jalan Batu Lancang sepanjang 660 meter, dengan belanja RM3,530,762.50 di sini baru-baru ini.

Wong Hon Wai selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri dalam kenyataannya berkata, kerja penaiktarafan jalan tersebut memberi manfaat kepada rakyat, khususnya kira-kira 5,000 pelajar daripada lima sekolah di sini.

“Kajian MPPP mendapati Lorong Batu Lancang mengalami kesesakan yang teruk pada waktu puncak dan hujung minggu sehingga membahayakan murid daripada lima sekolah di sepanjang jalan ini.

“Disebabkan itu, dua lintasan berlampu isyarat yang menelan belanja RM90,000 turut dipasang di sini supaya murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lancang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Georgetown tidak perlu lagi berkongsi sebuah lintasan pejalan kaki seperti dulu,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPPP, A. Rajendran memberitahu, kontraktor yang dipilih, iaitu MK Bashah (PG) Sdn. Bhd. memulakan kerja penaiktarafan projek tersebut pada 21 Oktober lepas dan siap lebih awal daripada tarikh sasaran, 1 Disember lalu.

“Pelebaran di kedua-dua hala jalan menjadi tiga lorong, pembinaan laluan pejalan kaki serta menaiktarafkan sebahagian sistem perparitan telahpun siap.

“Lorong tambahan untuk belok kiri dari Lorong Batu Lancang ke Jalan Masjid Negeri turut siap dibina,” ujar Rajendran kepada wartawan.

Tambah beliau, lorong tambahan sepanjang 200 meter untuk kemudahan menurun serta mengambil pelajar turut dimajukan dalam kerja penaiktarafan Lorong Batu Lancang di sini.

Bercakap pada sidang media sama, Yang di-Pertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Batu Lancang, Andy Ooi C.H. melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas penaiktarafan projek tersebut.

“Saya pun berharap kesesakan trafik dan risiko kemalangan di sini dapat dikurangkan selepas siap inisiatif Kerajaan Negeri ini,” ujarnya.