Edisi khas : Kerajaan Negeri PR ambil berat perihal kebajikan rakyat

Admin

WARGA-warga emas bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Penyelaras KADUN menunjukkan sokongan padu kepada Kerajaan Negeri berhubung PPWE.
WARGA-warga emas bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pegawai Penyelaras KADUN menunjukkan sokongan padu kepada Kerajaan Negeri berhubung PPWE.

 

RAKYAT Pulau Pinang tidak pernah dipinggirkan, malah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) amat mengambil berat segala perihal yang berkaitan dengan warganya. Selain itu, Kerajaan Negeri telah membuat beberapa perancangan khas untuk rakyat yang berpendapatan rendah supaya dapat membasmi kemiskinan sekaligus merealisasikan hasrat Pulau Pinang sebagai ‘International City’.

Antara program yang dijalankan adalah Program Penghargaan Warga Emas (PPWE). PPWE adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan warga emas yang telah banyak mencurah bakti di Pulau Pinang. Warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas adalah layak untuk mendaftar dalam program ini. Setiap warga emas yang mendaftar layak menerima sumbangan berjumlah RM100 setahun. Manakala, sejumlah RM1,000 akan disumbangkan kepada waris-waris warga emas bagi tujuaan pengurusan jenazah. Sehingga kini seramai 114, 665 warga emas telah mendaftar di bawah PPWE.

SEORANG warga emas memeluk Ketua Menteri menandakan rasa bersyukur setelah menerima wang penghargaan PPWE.
SEORANG warga emas memeluk Ketua Menteri menandakan rasa bersyukur setelah menerima wang penghargaan PPWE.

Dalam pada itu, Pulau Pinang juga menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya membasmi kadar kemiskinan tegar. Di bawah program peningkatan dan pemantapan sektor sosial, Kerajaan Negeri telah menetapkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM300 bagi ketua isi rumah (KIR) yang tiada tanggungan, RM500 bagi setiap keluarga dan RM100 per kapita. Hal ini adalah bagi memastikan setiap keluarga miskin tegar yang layak tanpa mengira latar belakang boleh memperoleh pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM500 sebulan melalui program Rakan Anti Kemiskinan (RAK).

Pengenalan sebuah tabung pinjaman khas berbentuk mikro-kredit, iaitu melalui Projek Titisan Saksama Rakyat (PTSR) pada awal tahun 2010 dilihat sebagai langkah Kerajaan Negeri memartabatkan kebajikan rakyatnya. Tabung pinjaman ini mempunyai dana permulaan berjumlah RM3 juta, untuk membantu ibu tunggal, golongan orang kelainan upaya (OKU), golongan berpendapatan per kapita bulanan sekeluarga tidak melebihi RM400 serta penjaja dan peniaga-peniaga kecil yang mempunyai premis perniagaan di Pulau Pinang. Maksimum pinjaman PTSR adalah sebanyak RM 5,000 tanpa faedah dengan tempoh bayaran balik maksima dua (2) tahun. Selain itu, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang bertindak sebagai pemudahcara dan mengurus tabung tersebut turut mendapat kerjasama dari Universiti Sains Malaysia (USM).

KERAJAAN Negeri memberi bantuan kepada peniaga kecil, ibu tunggal, golongan kelainan upaya (OKU) serta miskin fakir di negeri Pulau Pinang. Rohayu Mohamad Salleh adalah antara penerima pinjaman PTSR.
KERAJAAN Negeri memberi bantuan kepada peniaga kecil, ibu tunggal, golongan kelainan upaya (OKU) serta miskin fakir di negeri Pulau Pinang. Rohayu Mohamad Salleh adalah antara penerima pinjaman PTSR.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang turut menyediakan Skim Pinjaman Tanpa Faedah dan Skim Bantuan Program Pembasmi Rakyat Termiskin kepada penduduk yang masih kurang berkemampuan untuk mendapat kemudahan bekalan air bersih. Kerajaan Negeri ingin meringankan bebanan rakyat dengan mengecualikan mereka daripada pembayaran deposit bekalan air sebanyak RM70.00 untuk kedua-dua skim bantuan tersebut.

Bagi Kerajaan PR Pulau Pinang yang berjiwa rakyat, bantuan kepada manga-mangsa yang terlibat dalam bencana alam turut disediakan. Bantuan tersebut akan dikeluarkan dalam tempoh 24 jam kepada mangsa-mangsa terlibat bagi meringankan bebanan ditanggung oleh mangsa.

Segala usaha dan inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah untuk meningkatkan dan memantapkan sektor sosial serta memberi keselesaan kepada warganya.