Edisi khas : Pelan induk pengangkutan langkah proaktif Pulau Pinang

Admin

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Bayan Lepas kini giat dinaiktaraf bagi merancakkan kesinambungan kelancaran sistem pengangkutan di Pulau Pinang.
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Bayan Lepas kini giat dinaiktaraf bagi merancakkan kesinambungan kelancaran sistem pengangkutan di Pulau Pinang.

 

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang telah dan akan mengambil langkah-langkah proaktif dalam meningkatkan mutu sistem aliran pengangkutan sama ada laluan darat, air mahupun udara.

Kajian Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Negeri Pulau Pinang atau Penang Transport Masterplan (PTM) merupakan pelan menyeluruh dalam penambahbaikan sistem aliran pengangkutan sedia ada yang merangkumi kedua-dua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). PIP yang dilaksanakan pada Mei 2011 turut melibatkan penyediaan Rancangan Tempatan oleh PBT mengambilkira keadaan aliran semasa dan masa depan demi membendung kesesakan lalulintas.

Di samping itu, pelan tersebut juga bakal mewujudkan suatu sistem pengangkutan yang bersepadu, efisien, berkualiti, mesra alam, mesra pengguna dan meliputi seluruh pelusok Pulau Pinang. Malah, Majlis Pengangkutan Negeri (MPN) turut ditubuhkan untuk memberi khidmat nasihat serta buah fikiran dalam aspek pengurusan pengangkutan dan lalulintas di Pulau Pinang. Selain itu, PIP turut meliputi cadangan dan usul ‘Northern Corridor Implementation Authority’ (NCIA) dalam kemungkinan mewujudkan sistem pengangkutan air utuh di Pulau Pinang.

PELANCARAN Rapid Penang sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di bandaraya George Town.
PELANCARAN Rapid Penang sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di bandaraya George Town.

Perkhidmatan ‘water taxi’ atau teksi air telah dicadangkan dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020, menghubungkan bahagian pulau dengan Seberang Perai terutama ke destinasi-destinasi pulau seperti Pulau Aman dan Pulau Gedong serta pulau-pulau buatan yang akan dibangunkan bersama-sama jambatan kedua sebagai alternatif bagi mengurangkan kesesakan jalan raya. Malah, ia juga bakal menjadi salah satu produk pelancongan terbaik di Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap penambahbaikan dan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di samping memitigasi kawasan persekitaran LTABL tersebut. Di samping mewujudkan suatu rangkaian lalulintas yang menghubungkan LTABL dan sPICE Center yang bukan sahaja akan merancakkan lagi PIP malah mewujudkan kesinambungan sistem pengangkutan yang sistematik.

FERI merupakan salah sebuah pengangkutan air yang menghubungkan Seberang Perai dengan bahagian pulau Pulau Pinang.
FERI merupakan salah sebuah pengangkutan air yang menghubungkan Seberang Perai dengan bahagian pulau Pulau Pinang.

Selain tumpuan yang diberikan terhadap sistem lalulintas, sistem pengendalian pelabuhan dan kontena turut menjadi keutamaan, lantaran Pulau Pinang merupakan salah satu pelabuhan yang aktif dan sibuk di rantau Asia. Hal ini terbukti apabila Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) atau Pelabuhan Pulau Pinang memperoleh pendapatan berjumlah RM177.6 juta pada tahun 2009 hasil pengendalian dan pengurusan kontena sebanyak 958,476 TEU. Jumlah pengendalian kontena ini meningkat tahun lalu kepada 1,106,098 TEU dan sehingga Mac 2011, PPSB telah mengendalikan kontena sebanyak 278,161 TEU.

Selain itu, pelaksanaan Projek Landasan Berkembar Keretapi Elektrik (PLBKE) yang menghubungkan Ipoh dengan Padang Besar turut menjadi perhatian apabila projek berkenaan telah menimbulkan masalah banjir. Oleh demikian, Kerajaan Negeri menjalankan lawatan ke tapak yang berpotensi dilanda banjir secara bersepadu bersama jabatan-jabatan Kerajaan dan kontraktor bagi mengenal pasti dan membincangkan kaedah-kaedah pencegahan di samping memastikan kerja-kerja tebatan dan sistem peparitan yang sempurna di kawasan tersebut.

Hasilnya, suatu sistem saliran air di dalam kawasan rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menepati piawaian pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah diwujudkan. Malah Talian Kecemasan Banjir (1-300-80-1999) yang beroperasi 24 jam turut disediakan bagi membuka ruang kepada orang awam untuk membuat sebarang aduan andai berlakunya takungan air dan banjir di kawasan mereka.