ETS kembali singgah dua kali sehari di Stesen KTM Nibong Tebal mulai 25 Sept. – ADUN Jawi

JAWI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye berkata perkhidmatan keretapi elektrik (ETS) akan kembali berhenti di Stesen KTM Nibong Tebal mulai 25 September ini.

“ETS dari Butterworth ke Gemas akan singgah berhenti di Stesen KTM Nibong Tebal pada jam 7.48 pagi, manakala dari Gemas ke Butterworth akan berhenti di sini pada jam 9.39 malam.

“Setiap hari, ETS akan kembali berhenti dua kali untuk mengambil serta menurunkan penumpang di Stesen KTM Nibong Tebal ini,” jelasnya pada sidang media mempromosi perkhidmatan pengangkutan awam tersebut di sini pada 21 September 2018.

Menurut beliau, isu ETS tidak lagi berhenti di Stesen Nibong Tebal sejak bulan Julai 2015 merupakan antara isu setempat yang dibangkitkan beliau, ketika Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengadakan lawatan kerja ke negeri ini pada 6 September lalu.

“Dengan ETS kembali mengambil penumpang di Stesen KTM Nibong Tebal, walaupun trafik penumpang tidak begitu ramai dalam masa terdekat ini, perkembangan terbaru ini akan memudahkan lagi rakyat tempat.

“Mereka boleh terus naik ETS dari Stesen KTM Nibong Tebal, tidak perlu lagi bersusah payah ke stesen terdekat lain iaitu Stesen KTM Bukit Mertajam ataupun Butterworth.

“Terima kasih kepada Menteri, YB Anthony Loke atas keprihatinan pada permintaan hasrat penduduk setempat di sini, yang telah saya ketengahkan sebelum ini,” jelas Jason H’ng.

Dalam perkembangan berkaitan, Jason H’ng berkata pihaknya akan cuba berbincang dengan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pula berhubung syor menyediakan perkhidmatan bas pengantara awam ke Stesen KTM Nibong Tebal.

“Dalam masa terdekat juga, saya akan cuba berbincang dengan pihak pengurusan KTM sendiri, mengenai cadangan pengindahan kawasan lapang berhampiran Stesen KTM Nibong Tebal ini, kita akan bersihkan kawasan semak-samun di sini dahulu jika dipersetujui kelak.

“Kalau sesuai, mungkin perlu disediakan lot untuk kawasan penjajaan, supaya menambah lagi pelbagai kemudahan kepada penduduk setempat yang menggunakan perkhidmatannya ETS dari Stesen KTM Nibong Tebal ini,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbrian Ketua Menteri yang komited memperbaiki kemudahan pengangkutan awam termasuk di Daerah Seberang Perai Selatan.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB