Evolusi J/K Tetap Kesihatan MPPP harap dapat bina bandar impian

Admin

GEORGE TOWN – Perubahan dan evolusi diterapkan dalam Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam mulai 2010 hingga kini diharap dapat membina bandar impian taraf dewan bandaraya dan sekaligus merealisasikan misi untuk muncul sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa, ujar Pengerusinya yang juga Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong di sini baru-baru ini.

Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MPPP bertanggungjawab dalam aktiviti merancang, mengurus dan membuat keputusan berkaitan aktiviti perniagaan, trend, perindustrian dan penjaja kecil.

Pada masa sama, aspek pengurusan bandar melalui kaedah pengurusan sisa pepejal turut diberikan fokus.

Menurut Ah Teong, ‘inward significance’ yang dibawa jawatankuasa berkenaan telah mengubah landskap budaya kerja Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Kesihatan Awam dan Pelesenan MPPP.

“Keberkesanannya dapat dilihat dari segi kecekapan mengurus, memproses dan meluluskan permohonan lesen.

“Sebelum ini, kelulusan sesuatu permohonan memerlukan tempoh masa yang panjang tetapi tidak lagi kini.

“Lesen perniagaan siap diproses dalam tempoh 24 jam bagi lesen tidak berisiko dan bagi lesen berisiko, tempoh masa telah dijimatkan dari 60 hari kepada 40 hari,” ujarnya pada ucapan Penangguhan Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Tambah Ah Teong, pelaksanaan program menaiktaraf Kompleks Pasar dan Makanan juga telah banyak membantu dalam proses penempatan semula penjaja tanpa lesen.

“Sehingga kini, sejumlah 310 penjaja tanpa lesen ditemuduga dan ditempatkan dalam Kompleks Pasar dan Makanan di seluruh kawasan seliaan MPPP.

“Malah, pelaksanaan program Tanpa Beg Plastik dan pengharaman penjualan menggunakan stereofoam di bahagian pulau negeri juga telah berjaya mewujudkan suatu budaya baru dalam kalangan penduduk di sini,” ujar beliau.