Exco harap Kementerian benarkan PPR Permatang Tok Subuh ditawarkan melalui keadah sewa beli

GEORGE TOWN – Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permatang Tok Subuh dan PPR Mak Mandin yang telah siap masih belum diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, jelas Jagdeep Singh Deo.

Exco Perumahan, Perancangan Bandar & Desa dan Kerajaan Tempatan itu bagaimanapun berkata, pihaknya telah menulis surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya PPR Permatang Tok Subuh boleh ditawarkan kepada rakyat melalui kaedah sewa beli.

“Sekiranya dilaksanakan, ia akan menambah unit sewa beli sedia ada Kerajaan Negeri iaitu di Taman Sungai Duri Permai dan Taman Suruling Emas,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat dalam sesi pergulungan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 pada 9 Ogos 2018.

Menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri juga merancang untuk membina 187 unit RMM A di kawasan Mak Mandin dengan konsep sewa beli ini, selain menimbang untuk meluaskan konsep serupa kepada Rumah Mampu Milik C milik Kerajaan Negeri.

Sehingga kini, jelasnya, Kerajaan Negeri menyelia 1,672 unit rumah sewa iaitu 760 buah di Ampang Jajar dan baki di Desa Wawasan (912).

Itu, tambah beliau, tidak termasuk 529 PPR Jalan Sungai yang diselia Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 250 unit PPR Ampangan, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB