Exco harap kontraktor jalankan projek dengan penuh integriti

Admin

SUNGAI PINANG – Sebanyak 57 projek Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang yang menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri bernilai RM2.96 juta ditentukan hari ini melalui Cabutan Undi Perdana 2022.

 

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, cabutan yang dilakukan secara langsung dalam talian itu adalah bagi menentukan kontraktor yang berjaya membida projek-projek berkenaan.

 

Selain itu, kaedah tersebut juga adalah bagi memastikan cara kerja yang praktikal serta proses semak dan imbang lebih berintegriti.

 

“Kita memanfaatkan kaedah digital pasca pandemik bukan sahaja untuk memudahkan para kontraktor malah menunjukkan ketelusan dalam urusan kerajaan.

 

“Kaedah penggunaan teknologi ini juga adalah usaha mencapai digitalisasi selaras dengan visi Penang2030 untuk mentransformasikan urusan Kerajaan Negeri agar ia lebih cekap dan cepat.

 

“Justeru, hari ini sebanyak 57 projek telah melalui proses cabut undi melibatkan kerja-kerja jalan, pembangunan, kerja-kerja mekanikal dan lain-lain dengan kos hampir RM3 juta dana Kerajaan Negeri,” ujar beliau ketika berucap pada Cabutan Kerja Undi Perdana 2022 JKR Pulau Pinang Kali Ketiga dekat Sungai Pinang di sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Pnegarah JKR Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid dan Pengarah Unit Integriti Pulau Pinang, Nohd Faizal Che Meh.

 

Zairil berkata, kerja-kerja yang ditentukan melalui melalui cabutan undi perdana hari ini adalah bernilai antara RM20,000 hingga RM100,000.

 

“Dengan adanya peruntukan ini, Kerajaan Negeri berharap kualiti penyelenggaraan infrastruktur dan bangunan di Pulau Pinang dapat dipertingkatkan.

 

“Besar harapan saya agar pihak kontraktor menjalankan kerja dengan penuh tanggungjawab serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di samping menekankan aspek integriti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bunga.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD