PIDL, Al-Hady Centre mercu tanda baru pembangunan pendidikan Islam Pulau Pinang – TYT

Admin

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencipta satu lagi sejarah dengan penubuhan Penang Islamic Digital Library (PIDL) dan Al-Hady Centre (AHC) yang pertama di negeri ini.

Majlis perasmian kedua-dua institusi Islam berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Ahmad Fauzi berkata bahawa PIDL dan Al-Hady Centre bakal menjadi mercu tanda baharu bagi pendidikan Islam yang julung kalinnya dibangunkan di negeri ini demi manfaat seluruh masyarakat Pulau Pinang.

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyempurnakan gimik perasmian Penang Islamic Digital Library dan Al-Hady Centre dekat Masjid Negeri pagi tadi.
Serahan cek replika Dana Tajaan Lepasan Diploma KITAB ke Universiti Jordan dan Mesir daipada institusi-institusi Islam.
Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara KITAB dengan beberapa institusi pengajian tinggi, institusi korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak meninjua kemudahan yang terdapat di PIDL.

“Kedua-dua institusi ini bakal menjadi platform terbaik bagi menyalurkan ilmu dan maklumat dalam pelbagai bidang terutamanya sains Islam kepada seluruh masyarakat di negeri ini.

“Di samping itu, PIDL tentunya menjadi saluran terbaik dalam memperkasakan aspirasi Kerajaan Negeri ke arah melahirkan komuniti pintar dan membangunkan masyarakat yang berintegriti.

“Saya juga yakin bahawa usaha berterusan Kerajaan Negeri dan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang dalam merealisasikan PIDL adalah amat tepat dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran, berintegriti, berkualiti serta berdaya saing.

“Justeru, pelaksanaan inisiatif pintar ini diharap dapat membentuk generasi pintar yang berupaya meningkatkan pembangunan sosial lebih makmur,” katanya dalam malis perasmian PIDL dan Al-Hady Centre serta Sambutan Jubli Perak KITAB dekat perkarangan Masjid Negeri di sini pagi tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Lembaga Pengarah KITAB Pulau Pinang, Dr. Roslan Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar merangkap Ahli Lembaga Pengarah KITAB, Dato’ Mustafa Kamal Ahmad; Rektor KITAB Pulau Pinang, Profesor Dr. Mohamad Abdul Hamid serta ramai lagi.

Tambah Ahmad Fuzi, penubuhan Al-Hady Centre oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula dilihat mampu mengintegrasikan pemikiran serta ketamadunan bagi tujuan pendidikan dalam bidang politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi dari perspektif Islam.

“Saya percaya penubuhan pusat kajian ini adalah bersempena nama seorang tokoh pembaharuan terkemuka negeri Pulau Pinang dan adalah selari dengan visi serta misi agenda Khaira Ummah 2030 iaitu untuk mempersiapkan umat Islam terbaik untuk negeri ini,” ujarnya lanjut.

Sementara itu, Kon Yeow menyatakan bahawa kedua-dua insititusi berkenaan dikendalikan sepenuhnya oleh KITAB dan merupakan institusi pengajian tinggi milik di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Bergambar kenang-kenangan bersama wakil-wakil KITAB.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa PIDL merupakan kesinambungan daripada penubuhan empat perpustakaan digital oleh Kerajaan Negeri dalam usaha untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai salah satu pusat kecemerlangan sains dan teknologi yang unggul.

“PIDL merupakan perpustakaan Islam secara maya berkonsepkan moden pertama dibangunkan di Pulau Pinang dengan peruntukan RM5 juta yang menyediakan lebih daripada 1,500 bahan bacaan islamik secara digital.

“Kemudahan yang disediakan ini dilihat dapat meningkatkan produktiviti, ilmu pengetahuan sekali gus mempercepat usaha kita untuk memperkasakan matlamat dalam mewujudkan ekosistem dan komuniti pintar, berteknologi serta berpengetahuan tinggi.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri berharap agar kemudahan PIDL ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar dan golongan profesional dalam segenap institusi serta seluruh warga negeri ini,” katanya.

Tambah Kon Yeow, penubuhan Al-Hady Centre iaitu pusat kajian pemikiran dan ketamadunan Islam negeri Pulau Pinang merupakan salah satu daripada 68 janji yang terkandung dalam manifesto Saya ❤️ Pulau Pinang.

“Bersesuaian dengan adanya PIDL sebagai sumber maklumat secara digital, ia akan saling melengkapi fungsi dan peranan AHC sebagai sebuah entiti yang mengeintegrasikan pemikiran serta ketamadunan Islam melalui aktiviti penyelidikan saintifik,” ulasnya.

Pada majlis itu juga, Ahmad Fuzi turut menyempurnakan acara penanaman pokok sebelum meninjau kemudahan yang disediakan di PIDL dan AHC.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN