Exco harap Pusat segera naiktaraf hospital negeri

Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berharap rancangan Kerajaan Pusat untuk menaiktaraf hospital-hospital di negeri ini dapat disegerakan secepat mungkin.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyampaian Cenderamata serta Edaran Borang Permohonan Sumbangan Program Bayi Emas kepada waris bayi baru lahir di Hospital Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

“Setakat ini, memang ada rancangan untuk membina sebuah bangunan bertingkat di sini (Hospital Seberang Jaya) dan memang kita (Kerajaan Negeri) telahpun meminta Kementerian (Kesihatan) untuk mempercepatkan.

“Macam hari ini, sepatutnya ada 28 katil sahaja (dalam wad bersalin), tetapi ada pertambahan sampai 20 katil,” jelasnya yang
juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada wartawan sempena lawatan berkenaan.

Isterinya, Dr. Mardhiah Zakaria turut menyertai majlis tersebut.

Menurut Afif, lambakan pesakit di wad bersalin Hospital Seberang Jaya kini mungkin memakan masa dalam dua hingga tiga tahun memandangkan wad bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP) dekat Jalan Residensi terpaksa ditutup dalam satu tempoh untuk kerja penaiktarafan menjadi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang baru.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mensyorkan Kerajaan Pusat supaya menjelaskan status terkini mengenai rancangan menaiktaraf Bahagian Forensik di Hospital Balik Pulau, sebagaimana diumumkan Ahli Parlimen Balik Pulau merangkap Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya sebelum ini.

Terdahulu, Afif pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat George Town baru-baru ini turut menjelaskan bahawa bilangan katil yang dibekalkan di semua hospital kerajaan di negeri ini adalah mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, ruang wad sedia ada yang begitu terhad menjadi sesak dengan katil-katil tambahan mengikut keperluan pesakit yang kian bertambah dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, HPP mempunyai 1,107 katil, Hospital Seberang Jaya (314 katil), Hospital Bukit Mertajam (242 katil),
Hospital Kepala Batas (108 katil), Hospital Sungai Bakap (105 katil) dan Hospital Balik Pulau (71 katil).

Memetik Rancangan Malaysia Ke-10, Afif menjelaskan, Kerajaan Pusat turut mengumumkan kelulusan projek pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak dekat Jalan Residensi serta blok bertingkat baru Hospital Sebarang Jaya.