KM, REHDA rayu yuran penyelenggaraan flat dikecuali GST

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng merayu Putrajaya supaya pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijadualkan pada pertengahan tahun depan dikecualikan ke atas yuran penyelenggaraan penghuni rumah flat kos rendah dan kos sederhana rendah.

“Kebanyakan rakyat di negeri ini mampu membeli flat disebabkan mereka tidak mampu membeli rumah mampu milik, maka, kebanyakan daripada 16 peratus populasi rakyat Malaysia di Pulau Pinang pun akan turut menanggung kesan berantai ini.

“Justeru, mesyuarat Kerajaan Negeri memutuskan untuk merayu kepada Kerajaan Pusat (agar) pengecualian ke atas semua penghuni rumah flat di negara ini daripada membayar enam peratus GST (atas yuran penyelenggaraan), bukan di Pulau Pinang sahaja,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada sidang media di sini baru-baru ini. Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Jerry Chan (Pengerusi Persatuan Hartanah dan Perumahan Pulau Pinang, REHDA) turut menyertai sidang media tersebut. Nada yang sama turut diluahkan Jerry.

“Jika GST dikenakan ke atas 100 unit umpamanya, tetapi yang berjaya dikutip (yuran penyelenggaraan) meliputi 60 hingga 70 penghuni flat sahaja, maka, penghuni bukan sahaja membayar pada kadar enam peratus (GST), malah, terpaksa membayar lebih daripada itu semata-mata untuk membiayai (GST atas keseluruhan 100 unit rumah pangsa tersebut,” jelasnya.

Tambah Jerry, pengecualian GST ke atas yuran penyelenggaraan penghuni adalah wajar memandangkan penempatan mereka bukanlah membabitkan jual beli barangan atau perkhidmatan.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad dilaporkan berkata, GST dikenakan terhadap syarikat pengurusan flat atas dalih perkhidmatan dan keuntungan yang diperoleh pihak berkaitan.

“Bayaran yuran penyelenggaraan daripada penduduk dikenakan bagi tujuan perkhidmatan penyelenggaraan kondominium dan mereka mempunyai keuntungan daripada yuran berkenaan,” jelas beliau dipetik dari satu akhbar arus perdana sebelum ini.