Exco nekad saman fitnah jika akhbar enggan mohon maaf

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Syarikat akhbar, Utusan Melayu (M) Berhad menerima satu notis Tuntutan Guaman gara-gara menyiarkan berita ‘Lelaki dakwa dipukul wakil rakyat DAP’ pada 22 Disember tahun lepas yang didakwa mengfitnah Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dalam satu kenyataan menyokong Hock Seng berkata, pihak akhbar mesra UMNO Barisan Nasional (BN) itu diberi masa selama tujuh hari untuk melaksanakan segala tuntutan-tuntutan berwajib atau bersedia menghadapi saman fitnah di mahkamah nanti.

“Satu Notis Tuntutan telahpun dihantar secara faks dan pos kepada syarikat tersebut, memohon mereka menarik balik perkataan tersebut tanpa syarat, memohon maaf kepada YB Tuan Lim Hock Seng dalam tempoh satu minggu bermula hari ini (6 Januari 2014) dan membayar kepada beliau (dalam) satu jumlah ganti rugi yang dipersetujui bersama,” ujarnya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, laporan akhbar arus perdana itu seakan berniat jahat kerana menyebut secara khusus nama Hock Seng.

Sebelum itu, Hock Seng berkata, beliau pada 23 Disember 2013 telah membuat laporan polis ke atas penama G. Padadase dan syarikat tersebut berhubung berita fitnah tersebut.

“Selepas laporan polis itu dibuat (oleh G. Paradase), IO (Pegawai Penyiasat) langsung tidak menghubungi saya. Saya sendiri pergi berjumpa Inspektor Mustafa (IO) untuk membuat laporan polis.

“Kalau laporan (G. Paradase) itu adalah tidak benar, saya meminta polis mengambil tindakan kerana (G. Paradase) membuat laporan palsu terhadap saya,” tegasnya yang juga ADUN Bagan Jermal.

Hock Seng akan diwakili oleh peguam Muhammad Arif Shaharuddin dari firma guaman Karpal Singh & Co..