Sistem keretapi efisien tambah pelancong Bukit Bendera

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BUKIT BENDERA – Perbadanan Bukit Bendera (PHC) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menarik sejumlah 1,233,556 pelancong ke lokasi peranginan tersebut sepanjang tahun lalu.

Angka tersebut jelas menunjukkan peningkatan jumlah pelancong berbanding tahun 2012 iaitu seramai 1,204,556 orang sejak sistem keretapi furnikular baru diperkenalkan pada tahun sebelumnya (2011).

Pengurus Pemasaran dan Promosi PHC, Baharin Annuar Abu Bakar turut menyatakan bahawa, ‘Puncak Pulau Mutiara’ tersebut turut mencatatkan peningkatan kadar kehadiran pelancong musim cuti sekolah dari 227,839 orang pada 2012 kepada 280,205 (2013).

“Dari jumlah besar 1,233,556 yang dicatatkan, 26.05 peratus adalah pelancong asing dan angka tersebut meningkat sebanyak 11.56 peratus berbanding tahun 2012.

“Bagi taburan purata kehadiran pelancong secara bulanan, Bukit Bendera mencatatkan seramai 102,793 orang bagi tahun 2013,” jelasnya pada sidang media pegumuman penutupan sistem furnikular bagi penyelenggaraan berkala di sini baru-baru ini.

Tambah Baharin Annuar, jumlah yang direkodkan itu tidak termasuk jumlah pelancong bagi projek tanggungjawab korporat sosial (CSR) melibatkan rumah kebajikan, anak yatim dan warga emas.

“Peningkatan ketara ini dianggarkan berikutan penaiktarafan sistem keretapi furnikular yang lebih efisien bagi memudahkan pelancong untuk naik dan turun ke puncak bukit dengan lebih cepat sekaligus mendekatkan lagi dengan visi PHC dalam menjadikan Bukit Bendera antara lokasi percutian tanah tinggi terbaik di negara ini” ujarnya.

Beliau memberitahu, kadar keberoperasian furnikular juga mencatatkan peratusan amat memberangsangkan dengan 99.46 peratus pada 2013 berbanding 98.98 pada 2012 melibatkan perjalanan sejauh 48,702.4 kilometer pada perjalanan sehala (1996 meter).

“Walalupun dilihat prestasi PHC cukup memberangsangkan pada tempoh dinyatakan, namun kami (PHC) bertekad meningkatkan kadar kemasukan pelancong ke puncak Bukit Bendera dengan menggerakkan lagi promosi dan aktiviti dari semasa ke semasa.

“Bagi menjamin kelangsungan dan kelancaran operasi ‘nadi’ Bukit Bendera, sistem furnikular di sini ditutup buat sementara waktu pada 6 hingga 14 Januari lalu bagi membolehkan servis berkala dilaksanakan,’’ jelas Baharin Annuar.