Program pemerkasaan wanita bawa perubahan positif

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD


SUNGAI ACHEH – Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng menyeru supaya lebih ramai
wanita melibatkan diri dalam program pemerkasaan Kerajaan Negeri bagi membawa arus perubahan di sini.

Katanya, fokus utama penganjuran program-program yang diadakan adalah untuk menghargai jasa golongan Hawa serta membawa perubahan secara positif.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerjaan Negeri telah meluluskan Bajet Responsif Gender (GRB) selain beberapa lagi program khusus untuk golongan wanita di negeri ini,” ujarnya pada penganjuran Karnival Kampung Sungai Chenaam 2014 di sini baru-baru
ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal),Maimunah Mohd. Sharif (Yang di – Pertua MPSP) dan Mohammad Razak (Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh).

Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) adalah selaku penganjur utama dengan kerjasama Pejabat Timbalan Ketua Menteri I dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Objektif penganjuran adalah untuk memberikan hebahan kepada penduduk setempat mengenai program-program Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memperkasakan golongan wanita di negeri ini.

Turut menyahut seruan tersebut adalah Mohd. Rashid yang turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menyokong segala usaha membabitkan aktivisme wanita sebagai langkah menghargai pengorbanan golongan berkenaan.

“Justeru, semua wanita diseru supaya lebih terlibat dengan program anjuran PWDC sekaligus membantu untuk memenuhi matlamat penubuhan perbadanan tersebut,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, pada majlis sama, seramai 37 penduduk tempatan turut menerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang diluluskan Kerajaan Negeri.

Majlis penyampaian tersebut disempurnakan Mansur.