Exco puji Putrajaya bantu Pulau Pinang selenggara skim perumahan rakyat

JAGDEEP Singh Deo (kanan sekali) dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 10 Mac 2023.
GEORGE TOWN – Berdasarkan Bajet 2023 Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mendapat RM8 juta peruntukan di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) dan RM6.5 juta Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).
Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memuji usaha pentadbiran Perdana Menteri Ke-10 kini kerana turut membantu projek penyelenggaraan skim perumahan rakyat sedia ada di negeri Pulau Pinang.
“Di Pulau Pinang itulah amalan kita; jangan kira agama atau bangsa atau fahaman politik, kita (Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, LPNPP) perlu pastikan rakyat yang belum memiliki rumah selesa mempunyai rumah.
“Malah, kita sedang usahakannya dan saya percaya Kerajaan Persekutuan akan terus membantu semampu yang boleh untuk mencapai sasaran ini (iaitu semua rakyat mempunyai rumah selesa),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada sidang media di KOMTAR pada 10 Mac 2023.
Di samping itu, beliau berkata permohonan Kerajaan Negeri sebelum ini iaitu peruntukan berjumlah RM126.3 juta untuk pelaksanaan 157 projek penyelenggaraan kritikal berkaitan skim-skim perumahan sedia ada di Pulau Pinang turut wajar dipertimbangkan pada peringkat Kerajaan Persekutuan.
Selain itu, beliau turut berharap Kerajaan Persekutuan mempertimbang permohonan membina Projek Perumahan Rakyat (PPR) di lima lokasi tanah yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini, dengan anggaran peruntukan kira-kira RM1.5 bilion.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Jagdeep memberitahu bahawa mesyuarat LPNPP pada pagi ini telah meluluskan permohonan 23 projek tambahan berkaitan 11 skim perumahan rakyat yang bernilai RM5.9 juta; melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).
ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Batu Uban, A. Kumaresan; ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhrurrazi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Operasi LPNPP, Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff turut sertai sidang media tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT