Jabatan Imigresen negeri bakal tambah pegawai di pintu masuk sempadan, zahir penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang bakal menambah bilangan pegawai dan anggota penguat kuasa di pintu-pintu masuk sempadan bagi memantau pergerakan keluar masuk pekerja asing di negeri ini.

Pengarah Imigresen Negeri, Meor Hezbullah Meor Abd. Malik berkata, pihaknya kini dalam proses memperkukuhkan kawal selia imigran yang masuk ke negeri ini sama ada melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) mahupun Pelabuhan Pulau Pinang.

“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud) untuk menambah bilangan anggota bagi menjalankan penguatkuasaan di pintu-pintu masuk sempadan negeri ini.

“Tambahan pula, di Pelabuhan Pulau Pinang, pihak kami difahamkan akan dinaik taraf bagi menampung pertambahan masuk kapal-kapal persiaran, jadi pertambahan anggota penguatkuasa di sana juga suatu keperluan,” ujarnya pada kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pagi ini.

MEOR Hezbullah Meor Abd. Malik.

Dalam kunjungan tersebut juga, Meor Hezbullah turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana bersama-sama pihak Imigresen dalam menangani masalah pendatang tanpa izin atau PATI di negeri ini.

“Bagi pihak Imigresen negeri, kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana melancarkan banyak urusan berkaitan imigresen sebelum ini.

“Diharap hubungan ini dapat diteruskan pada masa hadapan walaupun saya akan bertukar ke pentadbiran Pejabat Setiauasaha Kerajaan Negeri Perak hujung bulan ini,” jelasnya yang telah berkhidmat di Pulau Pinang sejak 2015.

Selain itu, Meor Hezbullah turut menyuarakan hasrat untuk menaik taraf pejabat Jabatan Imigresen Negeri Pulau Pinang di Bandar Seberang Jaya.

“Saya berpandangan bahawa dengan pertambahan anggota, pejabat sedia ada di Seberang Jaya perlu dinaik taraf dan mungkin perkara ini boleh dibincang dengan lebih lanjut lagi kelak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow memaklumkan bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberikan kerjasama kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menangani kebanjiran PATI.

Malah beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Meor Hezbullah yang telah mencurah bakti selama empat tahun di Pulau Pinang.

Difahamkan, berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia sehingga tahun lalu, di Pulau Pinang, terdapat kira-kira 25,000 PATI yang berjaya dikesan melalui pelbagai program di bawah Jabatan Imigresen negeri.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING