Exco sambut baik penambahbaikan dasar pembangunan semula skim strata, atasi kekangan tanah terhad

TANJUNG BUNGAH – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menyambut baik usaha penambahbaikan kertas dasar pembangunan semula skim strata yang kini sedang diperhalusi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) sebelum dibentangkan pada Majlis Tanah Negara (MTN) April depan.

 

Jagdeep berkata, penambahbaikan kepada dasar pembangunan semula sedia ada amat penting terutamanya kepada negeri kepulauan seperti Pulau Pinang ekoran kekangan tanah yang terhad.

 

“Di Pulau Pinang terdapat dua faktor kenapa pembangunan semula dan merejuvinasikan semula skim-skim lama ini penting kerana adalah tidak berbaloi untuk menyelenggara ia secara berterusan, lebih baik ianya dirobohkan dan dibina baharu di kawasan sama dengan kemudahan yang lebih lengkap.

 

“Ekoran keadaan tanah yang terhad, suatu masa akan berlaku masalah tiada lagi tanah atau kawasan untuk dibangunkan, jadi kita (Kerajaan Negeri) harus merancang kehadapan bagi menampung populasi yang semakin bertambah, iaitu dimanakah kita ingin rumahkan mereka ini.

 

“Di sini, terdapat dua kaedah iaitu jangka pendek dan panjang. Lazimnya, penambakan tanah dilakukan seperti di negara Singapura dan Hong Kong, tetapi penambakan tanah ini perlu melalui proses yang terlalu lama dan memakan masa.

 

“Justeru, di Pulau Pinang langkah jangkah pendek yang dilakukan ialah melakukan pembangunan semula, jika dahulu kepadatan skim ini adalah rendah, tetapi jika pembangunan semula dilakukan densiti ini boleh ditingkatkan, dengan cara ini lebih banyak keluarga baharu dapat ditempatkan selain keluarga sedia ada,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Jagdeep berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Bengkel Kajian Kaedah Pembangunan Semula Skim Strata Siri Ke-4 di sini pagi ini.

 

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah JKPTG Sektor Kemajuan Pengurusan dan Perundangan, Datuk Che Roslan Che Daud.

 

Susulan itu, Jagdeep melahirkan harapan agar pembangunan semula lima blok di Lorong Mahsuri 10, Bandar Bayan Baru yang dibangunkan sekitar tahun 1978 dapat dimulakan tahun ini dan menjadi projek perintis pertama di Pulau Pinang.

 

“Skim ini (Lorong Mahsuri 10) mempunyai kepadatan penduduk yang kurang, jadi mudah untuk kita uruskan dan 99.9 peratus penduduk telah bersetuju untuk skim ini dibangunkan semula.

 

“Selain itu, terdapat empat lagi skim strata telah dikenalpasti untuk dibangunkan semula iaitu masing-masing dua di kawasan pulau dan Seberang Jaya.

 

“Skim-skim berkenaan ialah Taman Free School dan Padang Tembak di bahagian pulau, manakala di Seberang Jaya (flat Taman Mak Mandin dan flat Taman Siakap),” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Che Roslan memberitahu, di peringkat Pusat, pihaknya kini dalam proses untuk melengkapkan kertas dasar sebelum dibentangkan ke MTN.

 

“Diharapkan pada bengkel ini, segala input terbaik yang diperolehi boleh dimasukkan ke dalam kertas dasar tersebut dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum dibawa ke MTN, dan sekiranya MTN bersetuju barulah ia boleh dibentangkan di Parlimen untuk dijadikan sebagai Rang Undang-undang,” ujarnya.