Exco sangkal dakwaan KN gagal bina RMM di Balik Pulau

BAYAN LEPAS – Sejumlah 3,171 unit perumahan mampu milik (RMM) Kos Rendah atau kini dikenali Jenis A dan 118 unit Kos Sederhana Rendah (Jenis B) telah dibina di kawasan Balik Pulau sejak 2008, sekaligus menyangkal dakwaan Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Hilmi Yahaya bahawa Kerajaan Negeri gagal membina RMM di kawasan berkaitan baru-baru ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak benar, malah sejumlah 3,275 unit RMM Jenis A dan B telah dibina di kawasan Balik Pulau semenjak Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada tahun 2008.

“Malah, untuk memastikan pemohon di Balik Pulau memiliki tawaran unit-unit Jenis A dan B di kawasan (Balik Pulau) tersebut, satu senarai khas pemohon di Daerah Barat Daya telah diwujudkan,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Kunci RMM Idaman Selasih di Sungai Ara di sini baru-baru ini.

Pada majlis berkaitan, sejumlah 856 pemilik Idaman Selasih menerima kunci kediaman masing-masing.

Projek RMM Idaman Selasih mula dibina pada 2015 dan siap sepenuhnya pada tahun lalu (2016), yang mana Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) telah dikeluarkan pada 24 November 2016.

Menurut Jagdeep, dari tahun 2008 sehingga 2016, Kerajaan Negeri telah membina sejumlah 11,487 RMM Jenis A dan 9,400 (Jenis B), menjadikan jumlah keseluruhannya 20,887 unit RMM di Pulau Pinang telah dibina.

“Perlu diingatkan bahawa angka (20,887 unit) ini merupakan peningkatan empat kali ganda daripada bilangan unit RMM Jenis A dan B yang dibina oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam tempoh sama sebelum 2008 (dari tahun 2001 hingga 2007).

“Dalam tempoh tersebut, hanya 4,355 unit jenis A dan 769 unit Jenis B dibina oleh mereka,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, sejak 2013, Jawatankuasa Penambahbaikan Proses Pemilihan (SPEC) telah memilih 17,117 pemohon Jenis A dan 6,410 pemohon (Jenis B) untuk ditawarkan unit RMM berkenaan.

“Selain itu, kita (Kerajaan Negeri) juga dari tahun 2008 telah meluluskan 110 permohonan membabitkan 16,401 unit RMM Jenis A dan 12, 820 (Jenis B) untuk dibina.

“Adalah menjadi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan RMM disediakan di setiap daerah di Pulau Pinang,” ujar beliau.}