Fakta fitnah penjualan tanah negeri

KEBELAKANGAN ini, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) dilimpahi dengan fitnah-fitnah tanpa  bukti berhubung isu penjualan tanah oleh pihak pentadbiran sejak tahun 2008.

Padahal, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), sebanyak 980 ekar tanah di Tanjung Tokong, Lebuhraya Jelutong (325 ekar) dan di Batu Kawan (750 ekar) dijual kepada Abad Naluri Sdn. Bhd..

Berikut adalah penjelasan Ketua Menteri melalui kenyataan medianya bertarikh 3 September 2012 di Komtar, George Town di sini.

BN Pulau Pinang sengaja membesarkan isu penjualan tanah 1.1 ekar di Jalan Zainal Abidin. Hakikatnya, penjualan tanah oleh Kerajaan Negeri PR tidak dapat bertanding dengan penjualan Tanah oleh kerajaan BN sebelum ini.

BN enggan memberi penjelasan ke atas keuntungan RM5 juta dikaut dua pemimpin UMNO pada tahun ini dalam jangka masa tiga setengah bulan dengan menjadi “broker tanah” untuk 31 pemilik tanah Melayu di Balik Pulau. Saya ingin mengulangi faktafakta berikut:

a) BN menipu dengan mengatakan bahawa tanah Jalan Zainal Abidin atau Taman Manggis telah dirizabkan untuk perumahan awam dan dijual kepada orang kaya. Tiada rekod kelulusan pelan dalam Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang mengatakan bahawa tanah 1.1 ekar di Taman Manggis itu telah dirizabkan untuk projek perumahan kos rendah.

b) Tanah 1.1 ekar itu telah dijual melalui tender terbuka yang telah diiklankan secara umum termasuk dalam akhbar The Star. Sesiapa sahaja boleh membida dan pemenangnya harus memberi tawaran yang tertinggi, memberi Kerajaan Negeri sebanyak 150 lot parkir  dan tertakluk kepada kelulusan lesen hospital oleh Kementerian Kesihatan.

c) BN tidak malu menggunakan serangan peribadi bukan sahaja terhadap saya dan keluarga saya, tetapi juga tuan tanah saya. Apabila saya mula-mula menyewa rumah, BN telah membuat laporan SPRM terhadap saya dua tahun lepas dengan dakwaan bahawa rumah itu dimiliki saya. Sekarang, BN menyerang tuan tanah saya dengan mengatakan bahawa beliau mengenali pihak yang telah menawar untuk projek tersebut.

d) Kerajaan negeri PR merupakan satu-satunya kerajaan yang mempraktikkan tender terbuka untuk projek-projek kerajaan, termasuk penjualan tanah. Oleh itu, bagaimanakah tanah di Taman Manggis yang dijual pada harga RM232 sekaki persegi boleh dikatakan sebagai di bawah harga pasaran apabila ia dijual melalui tender terbuka dan melebihi harga yang dicadangkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Kementerian Kewangan?

e) Tanah yang dijual oleh Kerajaan Negeri merupakan strategi serampang dua mata yang menggalakkan sektor ekonomi kritikal seperti pelancongan kesihatan untuk Taman Manggis, dan dalam penjualan tanah 100 ekar di Bayan Mutiara pula, membantu membina tabung RM500 juta untuk pembinaan 18,000 unit perumahan mampu milik di seluruh negeri.

f) Kenyataan bahawa jumlah tanah Kerajaan Negeri sekarang adalah kurang berbanding dengan 2008 adalah tidak benar sama sekali. Kerajaan Negeri PR sedar akan nilai tanah dalam negeri yang kekurangan tanah seperti Pulau Pinang. Untuk sebab ini, PR telah memastikan bahawa jumlah tanah yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, kerajaan-kerajaan tempatan serta agensi-agensi Kerajaan Negeri adalah lebih sekarang berbanding dengan pada 8 Mac 2008 apabila PR mengambil alih.

g) PR merupakan pejuang kebebasan bersuara dan kerana itulah Sudut Pidato pertama di Malaysia telah ditubuhkan di Pulau Pinang lebih dua tahun lalu. Sesiapa sahaja boleh tampil untuk berucap dari pukul 6 petang hingga 8 malam setiap hari Rabu dan Ahad tanpa mendaftar atau mendapat kelulusan MPPP. Untuk memastikan tindakan polis tidak diambil kerana perhimpunan haram dan supaya tidak menggangu ketenteraman awam, sebarang pembesar suara atau megafon dilarang sama sekali. MPPP hanya akan membenarkan penggunaan megafon untuk acara-acara tertentu jika permohonan dibuat terlebih dahulu.

h) Kerajaan Negeri tidak bertindak sebagai broker tanah, bukan seperti dua pemimpin UMNO negeri (Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Omar Fadzar dan Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir) yang telah membeli tanah 10 ekar yang dimiliki 31 pemilik Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau untuk harga RM8.6 juta pada 31.1.2012. Kemudiannya, dua pemimpin UMNO ini telah menjual tanah tersebut untuk harga RM13.5 juta pada 16.5.2023, dengan mengaut keuntungan besar RM5 juta dalam jangka masa kurang daripada tiga setengah bulan.

BN Menjual Tanah Utama Tanjung Tokong Pada Harga RM1 Sekaki Persegi Dan Tanah Tebusguna Lebuhraya Jelutong Pada Harga RM20 Sekaki Persegi.

Penjualan tanah secara tender terbuka merupakan pengetahuan umum kerana ia diiklankan secara umum. Tender terbuka dalam penjualan tanah oleh Kerajaan Negeri PR terbukti berjaya mendapat harga yang paling tinggi dan melebihi harga pasaran. Sebaliknya penjualan Tanah oleh kerajaan BN tidak begitu. Sebagai contoh, dalam perjanjian-perjanjian penebusgunaan Tanjung Tokong yang bertarikh 1990 dan 1999, pihak pemaju diberi hak untuk menebusguna dan memajukan sebanyak 980 ekar tanah di pesisiran Tanjung Tokong pada harga RM1 sekaki persegi!

Bagi Lebuhraya Jelutong pula, di bawah perjanjian-perjanjian yang bertarikh 1997, 2002 dan 2003, pihak pemaju diberi hak untuk menebusguna sebanyak 325 ekar tanah sebagai gantian untuk pembinaan Lebuhraya Jelutong dengan kos anggaran RM300 juta dan bayaran RM25.4 juta. Dalam erti kata lain, jumlah kos adalah RM325.4 juta untuk 325 ekar tanah. Ini bersamaan dengan RM1 juta seeker ataupun RM20 sekaki persegi. Tambahan pula, pemaju boleh membayar RM25.4 juta dalam jangka masa 10 tahun dari 2005 hingga 2015 – semestinya satu rekod tempoh pembayaran yang baru.