Festival George Town kembali buat kali ke-3

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Festival George Town 2012 (GTF) kini kembali sempena sambutan tahun keempat pengiktirafan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Festival yang dijadikan acara tahunan itu, bermula 15 Jun sehingga 15 Julai ini bakal menyaksikan pelbagai persembahan dan aktiviti berkaitan seni, kebudayaan dan warisan Pulau Pinang sejak zaman dahulu lagi.

Bagi tahun 2012, GTF bakal menjadi acara terbesar menyediakan platform bagi penggiat seni, muzik, opera, teater, filem, fesyen dan kebudayaan sama ada tempatan mahupun luar negara untuk mempersembahkan keunikan lanskap kebudayaan dan warisan dunia.

Menurut Pengarah GTF, Joe Sidek, tahun lalu, festival tersebut telah berjaya menarik 190 penggiat seni dan kebudayaan bertaraf antarabangsa seperti Zhang Toi, Ghaffar Pourazar, Yeohlee dan Akram Khan Company.

“Kita mengharapkan sambutan tahun ini lebih meriah lagi. Oleh demikian, kami mengalu-alukan penyertaan para penggiat seni untuk turut serta dalam festival kali ini,” ujar Joe Sidek yang turut menyatakan bahawa pihak sekretariat GTF telah menerima 50 kertas kerja bagi menyertai penganjuran festival tahun ini.

Tahun lalu, penganjuran festival ini bukan sahaja memberi impak positif terhadap sektor pelancongan, malah, pihak perhotelan turut memperoleh pulangan RM2.17 juta (Julai 2011). Dianggarkan, satu juta pengunjung daripada 42 buah negara menyaksikan dan mengunjungi festival yang diadakan tahun lalu.

Dalam pada itu, pada 12 Februari lalu, New York Times telah mengeluarkan sebuah artikel mempromosikan Pulau Pinang, 36 Hours : Penang, Malaysia, yang berkisarkan tentang perjalanan seorang wartawan, Robyn Eckhardt di Pulau Pinang.

Artikel tersebut turut mempromosikan Festival Muzik Sedunia Pulau Pinang yang bakal diadakan pada 30 Mac sehingga 1 April ini. (Artikel penuh sila layari, http://travel.nytimes.com/2012/02/12/travel/36-hourspenang- malaysia.html?ref=travel).

Dalam pada itu, GTF yang turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri juga bakal mempersembahkan Silat: Heritage for the World, iaitu persembahan teater muzikal yang menggabungkan pelbagai elemen termasuk seni mempertahankan diri, visual dan muzik tradisional. Pada masa sama, GTF kali ini turut mendapat kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat dalam mempersembahkan ‘Broadway Masterclasses & Gala Performance’ dan ‘Hip Hop Workshops & Showdown’.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut atau menghantar kertas kerja GTF, sila layari laman sesawang http://www.georgetownfestival.com atau hubungi talian 04 – 261 6308 atau 016 – 464 4211.