Festival P. Ramlee acara tahunan P. Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

PULAU TIKUS – Buat tahun ketiga berturut-turut, badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute (PI) menganjurkan Festival P. Ramlee, sebuah medan keraian dalam memartabatkan karya seni Seniman Agung Negara, Tan Sri Datuk Amar P. Ramlee (P. Ramlee) atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh.

Menurut Pengarah Eksekutif PI, Zairil Khir Johari, penganjuran Festival P. Ramlee adalah bertujuan untuk memartabatkan karya seni lagenda P. Ramlee sekaligus meraikan bakat-bakat penggiat seni, sama ada penduduk setempat mahupun warganegara Malaysia.

“Walaupun sudah 42 tahun beliau meninggalkan kita, semangat dan jiwa Allahyarham Tan Sri P. Ramlee masih subur kerana karya-karyanya bukan sahaja terus dipertonton dan didengari semata-mata, tetapi menjangkaui realiti masyarakat dan cerminan sosial zamannya,” katanya pada satu sidang media di sini baru-baru ini.

Justeru, menurut Zairil, sebagai sokongan kepada kesungguhan Kerajaan Negeri untuk mengangkat kembali karya Seniman Agung Negara tersebut, PI mengambil inisiatif menjadikan Festival P. Ramlee sebagai acara tahunan di negeri kelahiran beliau.

“Lazimnya setiap tahun, kita (PI) akan menganjurkan pertandingan karaoke dan forum, tetapi tahun ini, kita akan mengadakan keraian yang penuh gemilang dengan penganjuran beberapa pertandingan baru seperti boria dan orkestra mini.

“Begitu juga penganjuran Pesta Rakyat yang turut mengetengahkan permainan rakyat seperti sepak bulu ayam, gasing, batu seremban, ketinting dan bermacam-macam lagi,” ujarnya.

Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera turut mengalu-alukan penyertaan vendor dan penaja, khususnya bagi acara Pesta Rakyat yang akan berlangsung dari 22 – 23 Ogos 2015.

Maklumat lanjut mengenai syarat-syarat penyertaan pertandingan, vendor dan penaja, sila hubungi Sekretariat Festival P. Ramlee di talian 04 – 228 3306 (sambungan 106) atau emel ke [email protected].

}