Fokus laksana projek infrastruktur utama jika diberi mandat sekali lagi – Kon Yeow

Admin

PERAI – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan memberikan tumpuan kepada projek-projek infrastruktur utama yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sekiranya diberikan mandat sekali lagi.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Tuan Chow Kon Yeow yang mantan Ketua Menteri berkata bahawa projek-projek berkenaan adalah termasuk pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas, pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang (PIA) dan Projek Air Perak – Pulau Pinang.

Chow Kon Yeow semasa berucap sebelum merasmikan Pusat Operasi DUN Perai.

“Kita bersyukur kerana pada akhir-akhir penggal ini, kita sudah mendapat banyak kelulusan (projek) daripada Kerajaan Persekutuan.

“(Dan) sekiranya mendapat mandat baru, tugas utama kita adalah untuk melaksanakan semua projek infrastruktur yang telah diberikan kelulusan ini sebaik sahaja Kerajaan Negeri dibentuk.

“Walaupun projek ‘raksasa’ ini tidak dapat disiapkan sepenuhnya dalam satu penggal (lima tahun) kerana memerlukan masa yang panjang tetapi sekurang-kurangnya ia akan menjadi satu platform supaya Pulau Pinang berada pada landasan yang kukuh untuk terus menjadi negeri maju,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pusat Operasi N16 Perai dekat Jalan Gan Chai Leng, Chai Leng Park, di sini sebentar tadi.

Calon bagi DUN Perai, S. Sundarajoo.

Turut hadir, tokoh veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP), Tan Sri Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai, Dato’ Seri S. Sundarajoo; calon DUN Bagan Dalam, K. Kumaran; pengarah kempen bagi DUN Bagan Dalam, Senator Dr. Lingeshwaran dan ramai lagi.

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, dengan adanya sokongan Kerajaan Perpaduan, Pulau Pinang dilihat akan membangun dengan lebih pesat berbanding kini.

“Saya percaya Pulau Pinang akan mencapai kadar pembangunan yang lebih baik dengan sokongan Kerajaan Perpaduan dan untuk memastikan ini berlaku, kita perlu mencapai kemenangan yang besar pada 12 Ogos ini,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas itu, Kon Yeow yang merupakan calon bagi DUN Padang Kota menyatakan bahawa DAP tidak berhasrat untuk memansuhkan pindaan had tempoh Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya mendapat semula mandat rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas itu.

“Kalau tanya Setiausaha Agung DAP, beliau langsung tidak bersetuju mengenai perkara ini dan saya yakin DAP tidak akan membenarkan perkara ini berlaku,” tegasnya.

Mengulas mengenai lantikan barisan ahli Exco, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu perkara itu akan ditentukan selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Selepas menang dan saya boleh angkat sumpah sebagai Ketua Menteri barulah kita fikir mengenai barisan ahli Exco yang memerlukan penglibatan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.