Elaun kepimpinan MPKK Pulau Pinang naik mulai Januari 2027

Admin
1b4d07a8 8225 4c94 a718 e2e1809fae37

GEORGE TOWN – Kadar elaun kepimpinan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Pulau Pinang akan dinaikkan mulai Januari 2027, melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM4.5 juta setahun.

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, kenaikan itu menjadikan keseluruhan peruntukan elaun MPKK sebanyak RM17.55 juta setahun susulan kelulusan semakan semula kadar berkenaan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat (MMK) Kerajaan Negeri pada 19 Oktober lalu.

Menurut beliau, elaun pengurusan mesyuarat dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 sebulan, tertakluk kepada penghantaran minit mesyuarat mengikut ketetapan, manakala elaun kehadiran mesyuarat meningkat daripada RM100 kepada RM150.

“Elaun bagi tiga jawatan utama MPKK turut dinaikkan sebanyak RM100 sebulan, iaitu pengerusi daripada RM700 kepada RM800, setiausaha daripada RM600 kepada RM700 dan bendahari daripada RM300 kepada RM400.

“Penambahbaikan itu merupakan pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap khidmat anggota MPKK yang menjadi antara barisan hadapan paling dekat dengan rakyat, termasuk menerima aduan, menghulurkan bantuan dan menggerakkan aktiviti masyarakat.

“Justeru, melalui kenaikan ini saya berharap ia menjadi dorongan kepada anggota MPKK untuk terus melaksanakan amanah dengan lebih aktif, cekap dan responsif terhadap keperluan penduduk,” ujarnya semasa Sesi Penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Yang Kelima Belas di sini pada 4 November 2026.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan penyertaan anggota MPKK di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) menerusi PERKESO LINDUNG KENDIRI mulai Mei 2027, tertakluk kepada syarat kelayakan dan peraturan skim.

Menurut Choon Aik, perlindungan insurans sedia ada bagi anggota MPKK adalah sehingga April 2027, justeru pertimbangan penyertaan di bawah skim berkenaan bertujuan memastikan kesinambungan perlindungan sosial mereka.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut merancang penganjuran Anugerah Perdana MPKK Negeri Pulau Pinang pada 2027 berdasarkan penilaian prestasi sepanjang 2026.

Sehubungan itu, Choon Aik menyeru kesemua 375 MPKK supaya mengambil bahagian secara aktif, memperkukuh pengurusan organisasi serta mempergiat program yang memberikan manfaat kepada penduduk.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS