GEORGE TOWN – Penubuhan Galeri Warisan India dan Pusat Kebudayaan Pulau Pinang di Little India disifatkan sebagai langkah signifikan dalam memelihara sejarah, identiti dan sumbangan komuniti India di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, galeri berkenaan bukan sekadar ruang pameran, malah menjadi wadah penting untuk merakam dan menyampaikan kisah perjalanan komuniti India kepada generasi masa depan.
“Komuniti India telah lama memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial Pulau Pinang, termasuk dalam sektor perdagangan, pelabuhan dan perusahaan kecil serta sederhana yang masih bertahan hingga kini.
“Kawasan Little India yang terletak di teras bersejarah George Town yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2008, kekal sebagai antara kawasan paling dinamik mencerminkan kepelbagaian budaya negeri ini.
“Oleh itu, Little India bukan hanya sebuah kawasan komersial, tetapi ruang budaya hidup yang dibentuk oleh generasi masyarakat, (dan) di sinilah warisan dan aktiviti ekonomi terus berkembang seiring,” katanya ketika merasmikan galeri tersebut dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Lingeshwaran R. Arunasalam; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran.
Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa pindaan terhadap enakmen muzium negeri akan dibentangkan bagi memastikan pembangunan muzium di Pulau Pinang lebih teratur dan berkualiti.
“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga merancang untuk meminda Enakmen Muzium Negeri bagi memastikan pembangunan muzium di Pulau Pinang lebih tersusun dan memenuhi piawaian yang ditetapkan.
“Langkah tersebut penting bagi memastikan hanya institusi yang memenuhi piawaian ditetapkan dapat diiktiraf sebagai muzium, sekali gus memelihara integriti sektor warisan negeri,”ujarnya.

Mengulas mengenai hala tuju masa depan, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh Little India sebagai daerah budaya yang dinamik melalui sokongan kepada perusahaan berasaskan warisan, peningkatan daya tarikan serta penambahbaikan.
“Warisan bukan sekadar cerminan masa lalu, tetapi juga sumber untuk masa depan ke arah menyokong aktiviti ekonomi, memperkukuh identiti dan mengangkat kedudukan Pulau Pinang sebagai bandar warisan hidup.
“Justeru, pembangunan yang dilaksanakan mesti memperkaya, bukan menghakis, karakter yang membentuk identiti kita,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut menjelaskan bahawa usaha pemeliharaan warisan terus diperkukuh melalui peranan agensi George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) serta Pelan Kawasan Khas George Town yang diwartakan pada tahun 2016, dan kini dalam proses semakan semula.

Sementara itu, Sundarajoo ketika berucap menzahirkan rasa kagum terhadap penubuhan galeri tersebut yang disifatkan sebagai satu usaha penting dalam memelihara dan menyampaikan sumbangan komuniti India kepada generasi akan datang.
“Koleksi yang dipamerkan di galeri ini amat berharga, dan wajar diperluaskan atau dikongsi ke lokasi lain sebagai usaha menyokong lebih banyak inisiatif pemeliharaan warisan.
“Sehubungan itu, saya ingin menyatakan sokongan peribadi serta komitmen politik terhadap usaha ini, selain yakin ia turut mendapat sokongan penuh daripada Ketua Menteri dalam memperkayakan kefahaman masyarakat terhadap sejarah dan legasi komuniti India di negeri ini,” tambahnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI