Gelanggang badminton Taman Kejiranan Jalan Gangsa siap dibina

SERI DELIMA – Projek pembinaan gelanggang badminton di Taman Kejiranan Jalan Gangsa dekat Green Lane Heights siap dibina dengan kos sebanyak RM16,133.25.

 

Syerleena Abdul Rashid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, kerja-kerja pembinaan telah dimulakan pada 18 April 2021 dan siap sepenuhnya pada awal bulan Mei lalu.

 

Menurutnya, lokasi pembinaan gelanggang badminton telah dicadangkan kepada pihak pihak Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) susulan hasil tinjauan yang dijalankan membabitkan penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima.

 

Gelanggang badminton yang telah siap dibina.

“Hasil tinjauan mendapati majoriti penduduk sekitar amat menggemari sukan badminton dan kebanyakan mereka hanya bermain badminton dengan menggunakan tali yang dibuat sendiri sebagai tanda.

 

“(Dan) hasil perbincangan dan saranan oleh pihak MBPP, mereka bersetuju membina sebuah dataran serba guna untuk dijadikan gelanggang badminton,” ujar Syerleena pada sidang media yang diadakan sejurus Majlis Tamat Kerja Tapak Badminton Jalan Gangsa pada 10 Disember 2021 lalu.

 

Hadir sama, Pegawai di Jabatan Landskap MBPP, Nurayuni Abdul Hamid dan Pengerusi Majlis Keselamatan Komuniti Kampung (MPKK) Green Lane Heights, Yeap Kean Chye.

 

Dalam perkembangan lain, Syerleena memaklumkan bahawa terdapat beberapa perancangan untuk menaik taraf Taman Kejiranan Jalan Gangsa pada masa hadapan.

 

“Jika tiada sebarang halangan, sebuah kebun komuniti akan dibangunkan melibatkan aktiviti bercucuk tanam bersama penduduk sekitar sini.

 

“Laluan basikal juga akan dibina khusus untuk memudahkan penduduk yang menggemari aktiviti berbasikal dan pada masa sama tidak membahayakan penduduk lain yang beriadah di situ,” jelasnya.

 

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD