Kursus pemantapan sebagai persediaan Kelas KAFA Menengah tahun depan

Admin

PINANG TUNGGAL – Kursus pemantapan yang dianjurkan oleh Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) adalah sebagai persediaan pelaksanaan Kelas KAFA Menengah Pulau Pinang mulai tahun hadapan.

 

Ahmad Zakiyuddin.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman ketika ditemui berkata, penganjuran kursus tersebut adalah sejajar dengan visi Khaira Ummah 2030 dalam memastikan kelangsungan pembangunan umat Islam di negeri ini terutama pembangunan rohani.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Menengah Pulau Pinang dekat sini pada 12 Disember 2021.

 

Hadir sama, Pengurus Besar YIPP, Mohd. Fitri Ibrahim.

 

Mengulas mengenai inisiatif terbaharu itu, Ahmad Zakiyuddin memaklumkan bahawa beliau bimbang apabila kadar keciciran pelajar sekolah peringkat menengah kian meningkat.

 

“Tanpa kita sedari terdapat segelintir masyarakat yang tidak bernasib baik dalam kehidupan dan memerlukan bantuan dari segi rohani dan jasmani.

 

“(Dan) menjadi tanggungjawab kita sesama umat untuk membantu semampu yang boleh dalam membimbing mereka (pelajar keciciran) menjadi insan yang berguna kepada masyarakat,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi YIPP turut memaklumkan bahawa langkah untuk memulakan kelas KAFA Menengah agak sukar kerana ketiadaan infrastruktur dan sebagainya.

 

“Walaupun fasiliti serba kekurangan, kelas KAFA tetap boleh dijalankan di masjid atau di mana-mana yang selesa dan bersesuaian dengan situasi pandemik kini.

 

“Terima kasih diucapkan kepada guru-guru KAFA yang tetap bersemangat melaksanakan tanggungjawab sesama umat walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran,” ujar Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti itu.

 

Mohd Fitri.

Sementara itu, Mohd. Fitri memberitahu bahawa Kelas KAFA Menengah Pulau Pinang merupakan kesinambungan serupa yang dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah di sini.

 

“Usaha ini adalah untuk memperkukuhkan lagi kefahaman agama Islam kepada pelajar di peringkat sekolah menengah dan diharapkan guru KAFA dapat memanfaatkan ilmu yang diberikan (melalui kursus pemantapan sebelum ini) dengan sebaiknya dalam usaha mendidik para pelajar.

 

“Pihak YIPP juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana sudi berkongsi ilmu tentang cara mengendalikan silibus kelas KAFA selama dua hari pada 11 dan 12 Disember lalu yang diadakan di SIRIM Pulau Pinang,” ujarnya.

 

Barisan guru-guru KAFA yang sedang mengucapkan lafaz ikrar.

Difahamkan, program ini akan dilaksanakan di 11 buah masjid terpilih di Pulau Pinang mulai tahun depan.

 

Permohonan bagi kemasukan pelajar ke Kelas KAFA Menengah Pulau Pinang telah dibuka kini sehingga 26 Disember 2021. Tempat ditawarkan adalah terhad dengan yuran yang rendah iaitu RM10 sebulan.

 

Syarat-syarat kelayakan adalah warganegara Malaysia, berumur 13 tahun pada 2022, berminat untuk mengikuti kelas sehingga tamat pengajian dan keutamaan kepada pelajar yang boleh membaca serta menulis jawi.

 

Bagi mereka yang berminat, sila hubungi Pejabat YIPP di talian 04-226 5821 atau layari Facabook Yayasan Islam Pulau Pinang.

 

Teks & Gambar: NUR ASHIKIN ISMAIL