Generasi dunia perlu mengingati pengorbanan wira-wira perang – KM

P E N G H O R M A T A N . . . Kira-kira 150 individu terdiri daripada pelbagai pasukan tentera dan unit-unit pertahanan tempatan serta asing berkumpul di Tugu Peringatan, The Cenotaph, Jalan Padang Kota Lama untuk memperingati wira-wira yang gugur di medan perang.

Bagi meneruskan tradisi yang dimulakan 15 tahun lalu, kalungan bunga yang melambangkan pengorbanan wira-wira perang diletakkan di The Cenotaph oleh wakil-wakil pasukan tentera dan unit-unit pertahanan tempatan serta asing.

Antaranya, dari Malaysia, United Kingdom, Australia, Fiji, Singapura, Rhodesia, India, New Zealand, Nepal dan Kanada. Sebelum itu, sesi bertafakur selama dua minit dilangsungkan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, generasi dunia pada masa ini perlu mengingati pengorbanan wira-wira perang dalam mencapai kedaulatan dan kemerdekaan sesebuah negara.

“Jasa dan pengorbanan wira-wira yang gugur di medan perang perlu diingati. Begitu juga, jasa dan pengorbanan veteran-veteran perang yang bukan sahaja telah menentukan perjalanan generasi kini, malah generasi akan datang untuk terus hidup dalam negara berdaulat.

“(Dan) peperangan tidak sepatutnya terjadi dan kita tidak seharusnya memulakannya dalam apa jua keadaan,” ujarnya.

Hari Peringatan wira-wira perang dianjurkan oleh Persatuan Veteran Keselamatan (PVK) Pulau Pinang pada bulan November setiap tahun bagi memperingati wira-wira perang yang gugur dalam Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua, Zaman Darurat, Konfrontasi Indonesia dan Zaman Pemberontakan.