Imam Besar Masjid Al-Aqsa puji KN martabatkan Islam, adil untuk semua

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Imam Besar Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Ali Omar Yacoub Abbasi baru-baru ini mengadakan kunjungan rasmi terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di pejabatnya di sini.

Beliau yang lebih dikenali dengan gelaran Sheikh Ali Al-Abbasi meluangkan masa hampir 30 minit dan sempat bertukar-tukar pelbagai perspektif bersama-sama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, malah turut memuji usaha pihak berkaitan dalam memartabatkan agama Islam serta berlaku adil terhadap semua rakyat di negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Pada perbincangan tertutup tersebut, Guan Eng turut menyatakan sokongan penuh Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap rakyat negara Palestin untuk terus berjuang menentang kezaliman Israel.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan kehadiran beliau ke Pulau Pinang. Beliau merupakan seorang yang berani.

“Kita mendoakan keselamatan beliau ketika berada di Jerusalem (Baitulmuqaddis)… dan seperti yang dunia ketahui bahawa Jerusalem diduduki oleh orang Israel (Yahudi) dan kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa hadapan,” ujarnya.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim turut hadir menyambut delegasi berkenaan.

Menurut Guan Eng, Sheikh Ali Al-Abbasi turut menyatakan bahawa beliau dapat melihat rakyat Pulau Pinang hidup dalam keadaan aman dan memberi sokogan penuh kepada Kerajaan Negeri kini.

Sebelum itu, Sheikh Ali Al-Abbasi turut mengadakan kunjungan ke pejabat Abdul Malik dan mengimamkan solat jemaah di Masjid Kapitan Keling bersama-sama penduduk tempatan.