Green Hands selesai isu sisa buangan, jana pendapatan umum

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNTahap kesedaran tinggi tentang isu alam sekitar dan amalan gaya hidup lebih sihat, hijau dan bersih telah mendorong sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Junior Chamber International Butterworth City (JCI Butterworth City) mencipta satu projek kitar semula sosial, Green Hands di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, projek Green Hands merupakan inisiatif mulia apabila menggunakan pendekatan lebih bijak dalam menyelesaikan masalah sisa pembuangan di sini.

“Projek ini bertujuan untuk mengurangkan sisa pembuangan dan pada masa sama juga bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk di sini sebagai pengumpul sisa buangan, pembungkus, pemandu dan penggerak.

“Inisiatif tersebut secara tidak langsung bakal menjana pendapatan tambahan kepada mereka yang menyokong rantaian kitar semula ini.

“Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut mengharapkan penglibatan pihak korporat dan awam untuk turut melibatkan diri dalam projek eko-kehidupan dengan mengitar sisa pembuangan yang ada,” ujarnya ketika sidang media Majlis Pelancaran Green Hands Social Recyling di Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban. S. Raveentharan, ADUN Kebun Bunga, Ong Khan Lee dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai, Lim Tau Hoong.

Sementara itu, Kon Yeow memberitahu, dalam meningkatkan keberkesanan pelaksanaan projek berkenaan ke tahap karbon sifar, teknologi skuter elektrik keluaran Syarikat Eclimo Sdn. Bhd. bakal digunakan untuk kerja-kerja pengumpulan sisa buangan sebelum dihantar ke pusat pengumpulan di Bayan Lepas di sini atau Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.

“Menerusi teknologi tersebut, sebanyak 155,052 kilogram karbon setahun dengan anggaran nilai RM124,830 dapat diselamatkan berhubung penggunaan kos petrol,” ujar beliau.

CHOW Kon Yeow (duduk, tiga dari kanan), ditemani ADUN-ADUN dan barisan penganjur menunjukkan poster projek Green Hands Social Recycling pada sidang media di Komtar di sini.
CHOW Kon Yeow (duduk, tiga dari kanan), ditemani ADUN-ADUN dan barisan penganjur menunjukkan poster projek Green Hands Social Recycling pada sidang media di Komtar di sini.