GTF 2012 bertema seni warisan silat

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWNPenganjuran sambutan George Town Festival 2012 (GTF 2012) bermula 15 Jun lalu (hingga 15 Julai) semakin berkembang ekoran peningkatan jumlah pengunjung laman web festival berkenaan yang berjumlah 3 juta berbanding 1.2 juta orang pada penganjuran tahun lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, selain penonton, GTF 2012 turut menerima ratusan permintaan dari pelbagai pihak untuk mengadakan persembahan, namun, ia (permintaan) terpaksa disaring pihak penganjur ekoran faktor masa dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan perpaduan rakyat negeri Pulau Pinang bagi melahirkan suasana masyarakat yang aman dan harmoni simbolik kepada keamanan serta budaya semua masyarakat di sini.

“GTF bukan sahaja meraikan keharmonian tetapi juga konflik antara bangsa dan agama.

“Sebelum memperoleh keharmonian, konflik memang tidak dapat dielakkan. Namun, masyarakat kita telah memilih keharmonian mengatasi konflik. Sama seperti memilih keharmonian kaum melebihi kebebasan aparteid dan penindasan,’’ katanya ketika merasmikan GTF 2012 di sini baru-baru ini.

Pada malam kemuncak GTF 2012, para pengunjung disajikan dengan kisah kepahlawanan silat lima bersaudara iaitu, Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, dan Hang Lekiu yang membabitkan hubungan menjaga ikatan persaudaraan atau ketaatan kepada sultan.

Bertepatan dengan tema, Silat : Warisan Kita Untuk Dunia, majlis tersebut telah dirasmikan Tuan Yang Terutama, Tun Abdul Rahman Abbas bersama isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, barisan Exco Kerajaan Negeri, Duta Amerika Syarikat dan Belanda, Pesuruhjaya New Zealand dan Sri Lanka, Konsulat Pakistan, Jerman, Jepun, Denmark, Thailand, Finland, Bangladesh dan Austria.

ABDUL Rahman Abbas (barisan ketiga dari bawah, lima dari kiri) dan Ketua Menteri bergambar kenang-kenangan bersama-sama sebahagian peserta yang menjayakan pementasan Silat : Warisan Kita Untuk Dunia sempena Majlis Pelancaran GTF 2012 di sini baru-baru ini.
ABDUL Rahman Abbas (barisan ketiga dari bawah, lima dari kiri)
dan Ketua Menteri bergambar kenang-kenangan bersama-sama
sebahagian peserta yang menjayakan pementasan Silat : Warisan
Kita Untuk Dunia sempena Majlis Pelancaran GTF 2012 di sini
baru-baru ini.