KN sedia ganjaran atlit cemerlang SUKMA XV

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU UBANSebagai penghargaan dan dorongan berterusan kepada atlit negeri, ganjaran RM3,000 bakal disumbangkan kepada mereka (atlit) yang berjaya membawa pulang pingat emas acara individu pada Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) XV yang berlangsung di Pahang. Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Abd. Halim Hussain berkata, bagi pingat perak kategori sama, sumbangan sebanyak RM2,000 untuk pingat perak dan RM1,000 (gangsa) akan diberikan.

“Bagi acara melibatkan lima atlit ke bawah, mereka (atlit) yang cemerlang bakal menerima RM1,000 bagi pingat emas, perak (RM 700) manakala gangsa (RM500).

“Untuk acara berpasukan, ganjaran pingat emas adalah RM500, perak (RM300) dan gangsa (RM100),’’ katanya pada sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita dan Komuniti Lydia Ong Kok Fooi yang turut menyerahkan bendera negeri kepada kontinjen negeri sejurus selepas pelancaran Kem Gempur SUKMA di sini.

Seramai 325 atlit Pulau Pinang bakal berentap dalam 24 acara sukan yang dipertandingkan dengan sasaran 25 pingat emas, pingat perak (20) dan pingat gangsa (23).