Guan Eng kesal Pusat masih belum laksana syarat-syarat penjualan Pelabuhan Pulau Pinang

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kesal dengan sikap Kerajaan Pusat yang masih belum melaksanakan Syarat-syarat Penjualan Pelabuhan Pulau Pinang kepada syarikat peneraju utiliti dan infrastruktur negara, MMC Corporation Berhad (MMC) demi kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Kerajaan Pusat mesti berani melaksanakannya khasnya bagi ‘capital dredging’ atau penggerukan induk sebanyak RM353 juta untuk mendalamkan laut kepada 15 meter yang dijalankan tanpa memenuhi syarat.

“Amat dikesali apabila syarat-syarat ini masih belum dilaksanakan (oleh Kerajaan Pusat) seperti dalam jawapan bertulis saya di Parlimen pada 8 Ogos 2017,” sebagai memetik kenyataan akhbar beliau bertarikh 28 Ogos lalu.

Dalam kenyataan akhbar tersebut juga, Guan Eng turut mempersoalkan keuntungan RM20 juta yang diraih oleh Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dalam penjualan Seaport Terminal (Johore) Sdn. Bhd. kepada MMC serta penyerahan pengurusan feri yang kerugian RM20 juta setahun kepada Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana).

Berikut adalah jawapan Menteri Kewangan:-

JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Pelabuhan Pulau Pinang telah diswastakan pada tahun 1993 kepada Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) yang dimiliki 100% oleh Menteri Kewangan DiPerbadankan (MKD).

Pada 21 November 2013, satu Perjanjian Penswastaan Tambahan telah ditandatangani di antara Seaport Terminal (Johore) Sdn. Bhd. (SPT) dan Kerajaan selepas MKD menjual ekuiti PPSB kepada SPT dengan nilai RM170 juta.

Mengenai keuntungan RM20 juta yang diperolehi oleh Yang Berbahagia Tan Sri Syed Mokhtar semasa pembelian Pelabuhan Pulau Pinang, pihak SPT perlu mengambil alih liabiliti PPSB berjumlah RM1.2 bilion, membiayai kos ‘capital dredging’ sebanyak RM350 juta dan membuat suntikan modal sekurang-kurangnya RM200 juta dalam tempoh 2 tahun pertama selain bayaran sewa pajakan tahunan sebanyak RM9.41 juta dengan kenaikan 10% setiap 3 tahun bagi konsesi sehingga 31 Disember 2023. Oleh yang demikian,

Kementerian Kewangan tidak dapat mengesahkan beliau memperoleh keuntungan RM20 juta mengambil kira kos-kos berkaitan pembelian Pelabuhan Pulau Pinang.

Kerajaan juga sedia maklum bahawa berdasarkan kepada Perjanjian Konsesi Penswastaan, pihak PPSB perlu menjalankan kerja-kerja pengerukkan di Pelabuhan Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, sebarang kerja-kerja pengerukkan yang ingin dijalankan perlu dilaksanakan berdasarkan kepada kajian terperinci dan sekiranya terdapat keperluan mendesak ianya perlu dilaksanakan.

Berkenaan dengan penyerahan pengurusan operasi perkhidmatan feri kepada Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana), Kerajaan sedia maklum bahawa operasi feri berkenaan mencatat kerugian berjumlah RM20 juta setiap tahun. Salah satu faktor utama kerugian adalah disebabkan oleh kos operasi feri yang semakin meningkat akibat daripada penyusutan dalam ‘ridership’ penumpang dan kenaikan dalam harga ‘bunker’ serta kos penyelenggaraan feri. Selain itu, sejak pembukaan Jambatan Pulau Pinang pada tahun 1985 dan Jambatan Kedua pada tahun 2014, permintaan perkhidmatan feri telah menurun secara mendadak.

Berikutan itu, PPSB terpaksa menggunakan hasil pendapatan operasi perkhidmatan pelabuhan bagi ‘cross subsidies’ bagi kos operasi berkenaan.

Oleh yang demikian, bagi memastikan perkhidmatan feri Pulau Pinang kekal relevan dan diteruskan untuk kepentingan rakyat jelata, maka Kerajaan sedang mengkaji supaya operasi feri diserahkan kepada Prasarana memandangkan syarikat berkenaan mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor pengangkutan awam dan telah berjaya menerajui Rapid Penang dengan baik. Selain itu, kedua-dua terminal feri yang terletak bersebelahan dengan stesen bas Rapid di George Town dan Butterworth merupakan satu faktor utama untuk membolehkan Prasarana merancang jadual perjalanan feri dengan menyelaraskan jadual perjalanan bas Rapid Penang. Ini bakal meningkatkan jumlah penumpang feri apabila pengguna boleh merancang perjalanan mereka dari Butterworth ke George Town atau sebaliknya.