Guan Eng yakin kepimpinan Perdana Menteri mampu pulihkan negara dalam masa tiga tahun

AIR PUTIH – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat negeri ini yang masih memilih Kerajaan Negeri Pakatan Harapan untuk mentadbir Pulau Pinang.

Ucapan penghargaan demikian disuarakan beliau pada Majlis Perayaan Deepavali 2018 Bersama Menteri Kewangan Malaysia dekat Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Jalan Sempadan, Air Putih baru-baru ini.

“Yang paling penting kita semua cipta sejarah tukar kerajaan (Persekutuan) yang sudah 61 tahun… sebagai kerajaan yang baharu berusia enam bulan, pastinya ini tugas berat untuk memulihkan kembali negara Malaysia.

“Walaupun baru berusia enam bulan tetapi kita ada Perdana Menteri yang paling berpengalaman di dunia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan saya yakin bawah kepimpinan beliau kita mampu pulihkan semula Malaysia,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Air Putih.

Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Ketua Penolong Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut, Nurshamshinaz Shamsuddin; Ahli Dewan Negara, Senator Lim Hui Ying dan pimpinan JKKK setempat.

Tambah Guan Eng, Kerajaan Persekutuan dilihat memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun bagi memulihkan semula keadaan ekonomi negara di sebalik pelbagai skandal kewangan yang timbul sebelum ini.

Pada majlis tersebut, Guan Eng turut menyampaikan baucer bantuan pakaian persekolahan kepada kira-kira 15orang murid kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih bagi menghadapi sesi persekolahan 2019.

Majlis dimulakan dengan nyalaan pelita sebagai tanda simbolik bermulanya sambutan pesta cahaya berkenaan dan seterusnya para hadirin diceriakan dengan persembahan artis-artis jemputan dari stesen televisyen swasta.

Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI