Pelajar-pelajar diseru sumbang kebijaksanaan idea dan kepakaran kepada Pulau Pinang apabila tamat belajar

PULAU BETONG – Walaupun sumbangan RM1,000 bagi Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam, Swasta dan Politeknik tidak seberapa nilainya, namun ia adalah amat besar maknanya kepada sesetengah golongan.

Perkara tersebut diucapkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT Tahun 2018/2019 dekat Politeknik Balik Pulau di sini petang tadi.

“RM1,000 ini mungkin tidak besar nilainya, namun bagi golongan berpendapatan sederhana dan rendah, nilai RM1,000 ini adalah amat besar serta amat dinanti-nantikan.

“Ianya juga merupakan salah satu penghargaan daripada Kerajaan Negeri kepada penduduk Pulau Pinang.

“Ini kerana, Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk menghargai rakyatnya, dan juga tidak lupa kepada golongan pelajar kerana mereka adalah pelaburan jangka panjang Pulau Pinang,” jelasnya pada majlis berkaitan.

Turut hadir, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim dan Pegawai Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya (DBD), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri.

Tambah Kon Yeow, untuk bantuan pendaftaran pelajar IPT bagi peringkat DBD sahaja, Kerajaan Negeri membelanjakan sejumlah RM299,600 yang disumbangkan kepada kira-kira 302 pelajar.

Beliau yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa Kerajaan Negeri berhasrat untuk terus menerajui pelbagai bidang dan bagi tujuan itu, beliau menyeru pelajar-pelajar untuk menyumbang idea, kebijaksanaan, ilmu dan kepakaran kepada Pulau Pinang apabila tamat belajar kelak.

“Kita amat yakin bahawa Pulau Pinang akan terus berkembang dan seterusnya dapat membina reputasi sebagai pusat kecemerlangan untuk menarik bakat-bakat baharu serta terbaik selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

“Serentak itu, ia juga bertujuan meningkatkan pelaburan dalam bidang baharu serta merealisasikan impian untuk keluarga hidup dalam persekitaran yang bersih, hijau, sihat, dan selamat serta memiliki peluang pendidikan dan pekerjaan,” ujarnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RAD