Naik taraf sistem saliran Jalan Makloom demi kurangkan risiko banjir, selesa rakyat

DATUK KERAMAT – Projek penarafan sistem saliran sepanjang 100 meter (m) dilengkapi rumah pam dekat Jalan Makloom di sini menelan belanja kira-kira RM290,000.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu,  spesifikasi dalam projek penarafan tersebut antaranya adalah pelebaran parit berukuran 1m kepada 1.8m, dengan kedalaman 1.05m.

“Projek (yang menelan belanja RM290,874.60) ini bermula pada bulan April dan akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk
disiapkan.

“Sebenarnya, di Datuk Keramat ini terdapat beberapa lagi projek mengurangkan risiko banjir akan dilaksanakan,” jelasnya yang juga
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat bersempena lawatan tapak pada 12 Jun lalu.

Sebelum itu, Jagdeep bersama-sama Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari serta Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer melawat sendiri projek penarafan sistem saliran dekat Jalan Makloom di sini.

Jagdeep menjelaskan, Datuk Keramat termasuk Jalan Makloom merupakan antara kawasan rendah yang sering kali dilanda banjir,
apabila terjadinya pertembungan hujan lebat serta limpahan air dari Sungai Pinang.

“Sungai Jelutong merupakan salah satu daripada lembangan Sungai Pinang yang mana (Sungai Pinang) adalah punca utama (berlakunya limpahan air ke) beberapa tempat sekitar (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Datuk Keramat,” ujarnya.

Tambah Jagdeep, sekitar Jalan Perak seperti Jalan Kampung Masjid Hashim Yahya dan Kampung Dodol merupakan antara kawasan rendah yang sering kali dilanda bencana banjir.

“Masalah banjir di Kampung Masjid Yahya adalah Sungai Jelutong, sehingga tahun 2010, Kerajaan Negeri telahpun melebar dan memperdalam Sungai Jelutong sebagai sebahagian daripada projek tebatan banjir hingga risiko banjir berjaya dikurangkan dengan begitu ketara.

“Kini, di Jalan Makloom, sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung lambakan air kerana saiznya yang kecil…maka, saya
merayu kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memperluas serta  memperdalam longkang itu.

“Saya begitu gembira apabila diumumkan bahawa rayuan saya telah diluluskan, saiz longkang akan diperbesarkan dan akan dilengkapi pam air,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zairil menyatakan bahawa kira-kira RM150 juta diperuntukan untuk pelaksanaan lapan projek tebatan banjir terutama di bahagian Seberang Perai serta di Daerah Barat Daya.

“Projek tebatan banjir di Mak Mandin yang bernilai RM40 juta adalah projek terbesar setakat ini, selain projek-projek tebatan banjir
berskala kecil dan sederhana di negeri ini,” jelasnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Menurut beliau, sumber perbelanjaan bagi projek-projek tebatan banjir di negeri ini adalah daripada Tabung Caruman Perparitan
yang disumbangkan oleh pemaju-pemaju swasta.

“Sebagai makluman, Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang, yang
merupakan salah satu projek tebatan banjir berskala besar di Pulau Pinang,” ujar Zairil.